CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Assalamualaikum

untuk pengetahuan anda
segala posting yang di terbitkan di dalam blog ini
adalah sumber/artikel/cerita dari mailbox saya yang telah
dikongsi oleh rakan rakan group

jadi..janganlah anda menuduh saya mengambil,mengedit dan selain nya dari mana mana fakta
kerana niat saya hanya untuk berkongsi sumber/artikel/cerita
yang telah saya baca

harap maklum

ikhlas
sweetmiko

Selasa, 26 Oktober 2010

Allah cintakan org muda yg bertaubat

Allah cintakan org muda yg bertaubat

Allah berfirman maksudnya: “...Dan berbuat baiklah, kerana sesungguhnya Allah menyukai (menyintai) orang yang berbuat baik.” – (Surah al-Baqarah, ayat 195).

Daripada ayat di atas, jelas bahawa Allah kasih kepada orang yang melakukan kebaikan. Orang yang baik, maknanya akhlak dan tingkah lakunya baik. Dia akan melakukan yang baik-baik saja. Ini kerana dia sedar hidup ini adalah kesempatan untuk mengumpul kebaikan.

Dengan kebaikan itu, maka turunlah rahmat Allah. Sebaliknya Allah membenci orang yang berperi laku jahat dan berakhlak buruk. Kederhakaan manusia menyebabkan turunnya kemurkaan dan bala daripada Allah. Alangkah bahagianya jika kita mendapat kasih sayang Allah.

Dalam sebuah hadis qudsi, Allah berfirman (bermaksud): “Aku cintakan tiga jenis manusia, tetapi Aku jauh lebih cinta kepada tiga jenis manusia lainnya, iaitu:

 Aku cintakan orang yang bersifat pemurah, tetapi Aku lebih cinta lagi orang miskin yang pemurah.

  Aku cintakan orang yang rendah hati/diri, tetapi Aku lebih cinta orang kaya yang rendah hati.

  Aku cintakan orang yang bertaubat, tetapi Aku lebih cinta lagi orang muda yang bertaubat.

Huraian ringkas hadis qudsi di atas adalah seperti berikut:

 Pemurah adalah salah satu sifat terpuji. Bukankah Nabi Muhammad orang yang paling pemurah, maka Baginda mengajar kita agar menjadi pemurah. Pemurah bererti suka memberi, tidak kedekut atau bakhil.

Allah menyintai sesiapa saja yang bersifat pemurah, tetapi Allah lebih menyintai orang miskin yang pemurah. Orang kaya pemurah Allah cinta, tetapi orang miskin pemurah, Allah lebih cinta lagi. Sebabnya, kalau orang kaya atau mempunyai harta yang banyak bersedekah dan pemurah, itu hal yang biasa dan memang sepatutnya mereka lakukan.

Orang miskin, selalu tidak kecukupan wang, namun mempunyai sifat pemurah, suka memberi walaupun dalam kesusahan. Nilai RM50 bagi orang kaya mungkin dirasa kecil, tetapi nilai itu besar dan bermakna bagi orang miskin.

Orang kaya mudah memperoleh wang sebanyak itu, tetapi orang miskin terpaksa berhempas-pulas dan membanting tulang demi mendapatkannya, namun dia masih berjiwa pemurah. Sudut inilah yang mungkin dinilai oleh Allah.

Sifat pemurah ini barang kali juga boleh diluaskan dari segi pemberian tenaga, keilmuan, pemikiran, nasihat berguna dan sebagainya. Allah menyintai sesiapa saja yang rendah hati, tidak meninggi diri dan sombong. Memang sewajarnya manusia tidak perlu berasa tinggi diri kerana di samping ia tidak layak bagi manusia, semua yang ada pada manusia, sama ada kekayaan, pangkat, kesihatan dan sebagainya adalah kurniaan Allah semata-mata.

Begitu pun, masih ada manusia yang berlagak sombong. Maka, sesiapa di kalangan manusia yang rendah hati akan dicintai Allah, tetapi jika orang kaya yang rendah hati, Allah lebih cinta lagi. Ini kerana kalau orang miskin rendah hati itu wajar disebabkan mereka sedar dirinya yang susah. Tetapi orang kaya, biasanya kalau sudah banyak harta, mudah berlagak sombong dan berasa diri lebih daripada orang lain.

Bagaimanapun, jika ada orang kaya, tetapi semakin rendah hati dan diri serta baik budi dan tidak sombong, malah suka membantu orang susah, ini dikira luar biasa.

Maha bijaksananya Allah mendidik orang kaya secara halus agar mereka menjadi rendah hati hingga lebih mendapat kecintaan Allah.

  Sesungguhnya Allah cintakan sesiapa saja yang bertaubat. Orang bertaubat adalah kekasih Allah dan orang bertaubat seolah-olah dia tidak mempunyai dosa, demikian makna sebuah hadis.

Sesungguhnya Allah membuka peluang seluas-luasnya kepada hamba-Nya untuk bertaubat siang dan malam iaitu sebelum matahari terbit dari sebelah barat (kiamat) atau sebelum nyawa sampai pada kerongkong, di mana pada waktu itu pintu taubat sudah pun tertutup.

Orang yang bertaubat ialah yang sedar terhadap kesalahannya, lalu mengadu kepada Allah dengan memohon keampunan. Manusia tidak sunyi daripada salah silap, maka perlu selalu bertaubat. Allah yang sifatnya Maha Penerima taubat sentiasa menunggu permohonan taubat daripada hamba-Nya.

Namun, ada antara kita yang tidak insaf dan sedar, di mana apabila usia sudah tua baru datang kesedaran untuk bertaubat, sedangkan usia mudanya dihabiskan dengan perkara dosa dan melalaikan. Itupun masih bernasib baik kerana Allah memberi kesempatan bertaubat sebelum didatangi maut.

Sebab itu Allah lebih menyintai orang muda yang bertaubat kerana sejak usia muda sudah berusaha membersihkan diri dan mempunyai kesedaran untuk menjadi orang salih serta dekat dengan Allah.

Maha Bijaksananya Allah mendidik hamba-Nya yang berusia muda agar gemar bertaubat, tidak menunggu ke usia tua. Ini kerana usia muda tidak menjamin seseorang untuk hidup lebih lama. Allah boleh menjemput yang muda, apa lagi yang tua.

Orang muda mudah terdorong mengikuti hawa nafsu yang merosak dan terdedah kepada perkara maksiat, malah jarang orang muda yang memiliki ketekunan beribadah dan banyak beramal salih. Inilah sebabnya Allah lebih menyintai orang muda yang bertaubat, kerana kalau orang tua yang bertaubat, maka itu sudah sepatutnya dia berbuat demikian.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan