APAKAH YANG HARUS ANDA FAHAMI TENTANG TEMU DUGA?
APAKAH MATLAMATNYA?
Temu duga diadakan untuk memberikan peluang kepada majikan untuk lebih mengenali diri anda, mengenali personaliti anda dan menentukan sama ada anda sesuai atau tidak untuk jawatan tersebut. Kebanyakan pemburu kerja sering berasa sukar untuk mencari pekerjaan yang sesuai dengan kelayakan yang ada dan kurang arif tentang teknik-teknik yang betul dalam memohon pekerjaan dan menghadiri temu duga.
Menurut Pengurus Unit Program Bumiputera, Multimedia Development Corporations (MDC), Mohd Shahidan Shaari, lebih 85 peratus dilaporkan memohon kerja lebih daripada 10 kali, namun masih gagal. Selain perlu menguasai kemahiran berbahasa Inggeris, pemohon juga perlu sedikit sebanyak mengetahui kemahiran temu duga. (Dipetik dari akhbar Utusan Malaysia, 5 Feb 2006)
Jika ditanya kepada pemohon-pemohon kerja ini, bahagian temu duga yang paling digeruni, kebanyakan mereka akan mengatakan kebimbangan mereka ketika menjawab soalan-soalan penemu duga. Kebimbangan mereka bertambah apabila mengetahui bahawa syarikat yang memanggil temu duga berkemungkinan besar akan berkomunikasi dengan mereka dalam bahasa Inggeris. Banyak kes yang berlaku, pemohon terus gugup apabila penemu duga bertanyakan soalan dalam bahasa Inggeris. Hal ini menjejaskan peluang mereka untuk mendapatkan pekerjaan walaupun mereka layak dari aspek kelayakan akademik.
APAKAH YANG HARUS ANDA LAKUKAN?
Pertama, anda harus membuat sedikit persediaan dengan menjangka soalan yang akan ditanya oleh penemu duga.
Kedua, anda digalakkan berlatih dengan melakonkan sesi temu duga yang bakal ditempuhi. Jika boleh, minta keluarga atau rakan anda membantu. Hal ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan kegugupan anda ketika ditemu duga. Ingat! Penemu duga dapat mengesan jika anda tidak membuat persediaan.
Ketiga, anda berlatih dengan melakonkan sesi temu duga dalam bahasa Inggeris pula. Dengar perkataan-perkataan bahasa Inggeris yang anda pertuturkan. Minta keluarga atau rakan membetulkan sebutan anda jika salah. Keyakinan anda akan bertambah jika anda banyak berlatih, InsyaAllah. Jangan takut untuk menjawab dalam bahasa Inggeris walaupun anda kurang fasih dalam bahasa ini. Jangan terlalu bimbang akan kesalahan tatabahasa. Sesetengah penemu duga hanya ingin menguji sama ada anda berani menjawab dalam bahasa Inggeris atau tidak sahaja.
PERKARA YANG PENEMU DUGA INGIN TAHU TENTANG ANDA
Antara perkara yang ingin dicungkil oleh penemu duga daripada anda adalah seperti berikut:
1. Mampukah anda berkomunikasi dengan baik?
2. Adakah anda seorang yang berfikiran terbuka atau senang melatah?
3. Mampukah anda menangani tekanan?
4. Bolehkah anda memikul tanggungjawab yang diberikan?
5. Adakah pengalaman atau kelayakan akademik anda relevan dengan jawatan yang ditawarkan?
6. Bolehkah anda menyesuaikan diri dengan situasi bekerja di syarikat mereka?
SOALAN YANG LAZIM DITANYA DALAM TEMU DUGA
Antara soalan yang lazim ditanya dalam temu duga ialah:
1. Ceritakan serba sedikit tentang diri anda.
2. Kenapa anda memohon jawatan ini?
3. Apakah yang anda tahu tentang syarikat ini?
4. Kenapa anda mahu bekerja dengan syarikat ini?
5. Apakah ciri-ciri yang diperlukan untuk mengisi jawatan ini?
6. Apakah yang boleh anda sumbangkan?
7. Apakah kekuatan dan kelemahan diri anda?
8. Bolehkah anda bekerja lebih masa?
SOALAN YANG BOLEH ANDA TANYA KEPADA PENEMU DUGA
Temu duga sebenarnya bersifat dua hala. Temu duga juga memberikan peluang kepada anda untuk lebih mengetahui latar belakang syarikat, menilai sama ada syarikat tersebut stabil atau tidak dan anda juga dapat memastikan apa-apa yang anda harapkan dari segi gaji dan faedah lainnya adalah sesuai dengan kehendak anda. Untuk menunjukkan minat anda pada jawatan yang dipohon, anda boleh mengajukan soalan kepada penemu duga. Antaranya:
1. Sekiranya diterima, apakah tugas saya?
2. Di jabatan mana saya bakal ditempatkan dan kepada siapa saya perlu melaporkan diri?
3. Adakah latihan disediakan untuk pekerja?
4. Bilakah akan diumumkan keputusan temu duga?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan