CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Assalamualaikum

untuk pengetahuan anda
segala posting yang di terbitkan di dalam blog ini
adalah sumber/artikel/cerita dari mailbox saya yang telah
dikongsi oleh rakan rakan group

jadi..janganlah anda menuduh saya mengambil,mengedit dan selain nya dari mana mana fakta
kerana niat saya hanya untuk berkongsi sumber/artikel/cerita
yang telah saya baca

harap maklum

ikhlas
sweetmiko

Selasa, 26 Oktober 2010

Akhlak gambaran iman mukmin

Akhlak gambaran iman mukmin


IBADAT membentuk akhlak dan melembutkan budi pekerti. Orang yang beribadat sentiasa melatih diri untuk taat kepada perintah Allah serta mencari keredaan-Nya dalam semua bidang kehidupan.

Amalan yang ikhlas dinilai sebagai ibadat sama ada ibadat khusus yang menghubungkan secara langsung antara hamba dengan pencipta seperti solat, zakat dan puasa atau ibadat umum yang menghubungkan antara hamba seperti berniaga, bertani dan berkahwin.

Allah mencipta manusia supaya mereka beribadah kepada-Nya. Perkara ini dijelaskan dalam firman-Nya bermaksud: “Dan tidak Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka tunduk mengabdikan diri kepada-Ku.”(Surah al-Zariat, ayat 56)

Persoalan akhlak juga amat dititikberatkan oleh Islam terhadap penganutnya. Ia menjadi tujuan utama utusan Allah seperti sabda Nabi Muhammad saw bermaksud: “Sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan akhlak mulia.”

Akhlak umpama buah bagi pokok yang hidup subur, tanpa pokok tiadalah buah. Begitu juga dengan ibadat yang tanpanya tiadalah akhlak. Buah yang baik, tentu memerlukan pokok yang subur. Begitu juga dengan akhlak yang luhur memerlukan ibadat yang bermutu dan dikerjakan secara berterusan. Jika ibadat seseorang teguh, akhlaknya juga teguh dan begitu pula sebaliknya.

Akhlak dalam Islam bertitik tolak daripada pengabdian seseorang kepada Allah dengan mengikut sunnah Rasulullah. Baginda ialah contoh peribadi terbaik. Semua perangai bertentangan dengan akhlak Rasulullah dikira tidak berakhlak.

Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) mempunyai akhlak yang paling mulia.” (Surah al-Rum, ayat 4)

Saidatina Aisyah apabila ditanya mengenai akhlak Rasulullah berkata: “Adalah akhlak Baginda ialah al-Quran.”

Oleh itu, pengukur untuk menilai akhlak seseorang sama ada baik atau buruk perlu dilihat kepada penghayatan seseorang terhadap kandungan al-Quran secara keseluruhannya.

Persoalan akhlak dalam Islam merangkumi akhlak terhadap al-khaliq (pencipta) dan akhlak terhadap makhluk. Akhlak terhadap khaliq adalah seperti cinta, taat atau patuh yang tidak berbelah bahagi, ikhlas, sabar, reda, syukur, takwa, warak dan zuhud.

Akhlak terhadap makhluk pula merangkumi akhlak sesama manusia dan bukan manusia. Akhlak sesama manusia termasuk kepada diri sendiri, keluarga, jiran dan masyarakat.

Antara nilai akhlak yang mesti ada ialah adil, jujur, perasaan ukhuwah, musyuwarah, tolong-menolong, kenal-mengenal dan faham-memahami.

Sementara akhlak terhadap bukan manusia seperti menjauhi perbuatan hasad dengki, sentiasa berprasangka baik serta ramah tamah dan adil dalam segala perlakuan dan perkataan seharian.

Akhlak yang baik digambarkan oleh Rasulullah sebagai suatu yang paling berat dalam timbangan seseorang mukmin pada hari kiamat kelak.

Sabda Baginda bermaksud: “Tidak sesuatu yang lebih berat dalam timbangan seseorang mukmin pada hari kiamat selain akhlak yang baik dan Allah benci pada orang yang keji mulut atau kelakuannya.” (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Menurut al-Quran, akhlak mencerminkan kebersihan hati. Akhlak yang baik menunjukkan hati luhur lagi bersih. Akhlak buruk menunjukkan jiwa yang kotor. Firman Allah dalam Surah al-Syamsu, ayat 9-10, bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang membersihkan jiwanya dan sangat malang orang yang mengotori jiwanya.”

Rasulullah pernah ditanya seorang lelaki mengenai semalang-malang nasib? Jawab Baginda: “Akhlak yang buruk.”

Baginda juga pernah ditanya seorang lelaki, siapakah mukmin yang lebih baik keimanannya? Baginda menjawab: “Yang paling baik adalah akhlaknya.”

Ibadat akan membentuk akhlak seseorang. Akhlak pula asas pembentukan peribadi Muslim. Jika akhlaknya baik, maka personalitinya menarik dan begitulah sebaliknya.

Contohnya, sembahyang dapat membentuk peribadi Muslim yang syumul. Apabila masuk waktu solat, azan akan berkumandang dan menandakan tiba kewajipan umat Islam mengabdikan diri. Waktu mesti dihargai dan ditepati.

Sebelum mengerjakan solat, umat Islam dibimbing supaya sentiasa menjaga kesihatan dan kebersihan diri. Sebab itu disyaratkan kita berwuduk dengan membersihkan muka, tangan dan tapak kaki daripada segala najis dan kekotoran.

Ibadat sembahyang dapat memelihara diri manusia daripada melakukan kemungkaran. Diri akan terkawal daripada kemaksiatan seperti jaminan Allah dalam firman-Nya dalam Surah al-Ankabut, ayat 45 bermaksud: “Sesungguhnya manusia itu di jadikan bertabiat resah gelisah, apabila dia beroleh kesenangan, dia sangat bakhil kedekut, kecuali orang yang mengerjakan sembahyang iaitu mereka yang tetap mengerjakan sembahyang.”

Ibadat puasa juga mempunyai hikmah tersendiri. Selain menandakan kesyukuran terhadap nikmat Allah, puasa melatih kita bersih daripada sifat mazmumah seperti hasad dengki, tamak haloba, sombong dan takabur. Dengan berpuasa, manusia bukan saja menahan diri daripada lapar dan dahaga, malah melatih diri melakukan sifat terpuji seperti tolong-menolong, bersedekah dan merendah diri di samping mengerjakan ibadat sunat seperti solat tarawih, tahajud dan bertadarus al-Quran.

Zakat pula selain membersihkan diri daripada sifat bakhil dan kedekut, dapat membentuk insan pemurah, rajin berusaha dan suka menolong orang yang susah.

Firman Allah bermaksud: “Pungutlah zakat daripada harta mereka supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan doakanlah untuk mereka kerana sesungguhnya doa itu menjadi ketenteraman bagi mereka.” (Surah at-Taubah, ayat 103)

Ibadat haji dapat mendisiplinkan diri seseorang mukmin daripada perkara fasik. Sebaliknya, mereka didorong melakukan perkara kebaikan dan kebajikan.

Firman Allah bermaksud: “(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi, barang siapa yang menetapkan niatnya dalam bulan itu akan mengerjakan haji, maka dia tidak boleh bercakap kotor (atau bersetubuh) berbuat fasik dan bantah-bantahan dalam masa mengerjakan haji. Dan apa yang kamu kerjakan berupa kebaikan, nescaya Allah mengetahuinya. Bekalkanlah dan sesungguhnya sebaik-baik bekalan adalah takwa dan bertakwalah kepada-Ku hai orang berakal.” (Surah al-Baqarah, ayat 197).



Tiada ulasan:

Catat Ulasan