CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Assalamualaikum

untuk pengetahuan anda
segala posting yang di terbitkan di dalam blog ini
adalah sumber/artikel/cerita dari mailbox saya yang telah
dikongsi oleh rakan rakan group

jadi..janganlah anda menuduh saya mengambil,mengedit dan selain nya dari mana mana fakta
kerana niat saya hanya untuk berkongsi sumber/artikel/cerita
yang telah saya baca

harap maklum

ikhlas
sweetmiko

Selasa, 26 Oktober 2010

Rasulullah ikat batu di perut tahan lapar

Rasulullah ikat batu di perut tahan lapar


NABI Muhammad saw adalah contoh akhlak terbaik umat manusia. Keperibadian mulia dan murni Baginda ditunjukkan dalam segenap kehidupannya.

Dalam hal ini, Baginda turut mempamerkan akhlak dan keperibadian mulia dalam urusan rumah tangga. Rasulullah tidak terlalu membebankan isteri-isteri Baginda dalam menjalankan tugas mengurus rumah tangga.

Contohnya, jika ada pakaian koyak, Rasulullah menampalnya sendiri tanpa perlu menyuruh isterinya.

Baginda juga memerah susu kambing untuk keperluan keluarga mahupun untuk dijual.

Setiap kali pulang ke rumah, apabila dilihat tiada makanan yang sudah siap dimasak untuk dimakan, sambil tersenyum Baginda menyinsing lengan bajunya untuk membantu isteri di dapur.

Saidatina Aisyah menceritakan: “Kalau Nabi berada di rumah, Baginda selalu membantu urusan rumah tangga.

“Jika mendengar azan, Rasulullah segera ke masjid dan cepat-cepat pula kembali selepas selesai sembahyang.”

Pernah Baginda pulang pada waktu pagi. Tentulah Baginda amat lapar waktu itu. Tetapi dilihatnya tiada apa pun yang ada untuk dimakan.

Makanan yang mentah pun tidak ada kerana Aisyah belum ke pasar. Maka, Nabi bertanya: “Belum ada sarapan ya Khumaira?” (Khumaira adalah panggilan mesra untuk Aisyah yang bererti 'wahai yang kemerah-merahan').

Aisyah menjawab dengan agak serba salah: “Belum ada apa-apa wahai Rasulullah."

Rasulullah lantas berkata: “Jika begitu aku puasa saja hari ini." Tanpa sedikit tergambar rasa kesal pada wajahnya.

Sebaliknya, Baginda sangat marah jika melihat seorang suami memukul isterinya. Rasulullah menegur: “Mengapa engkau memukul isterimu?” Lantas soalan itu dijawab dengan agak gentar: “Isteriku sangat keras kepala. Sudah diberi nasihat dia tetap degil, jadi aku pukul dia.”

“Aku tidak bertanya alasanmu,” sahut Nabi. “Aku bertanya mengapa engkau memukul teman tidurmu dan ibu kepada anak-anakmu?" tanya Rasulullah lagi.

Pernah Baginda bersabda: “Sebaik-baik lelaki adalah yang paling baik dan lemah lembut terhadap isterinya.”

Prihatin, sabar dan tawaduknya Baginda dalam menjadi ketua keluarga langsung tidak sedikit pun menjejaskan kedudukannya sebagai pemimpin umat.

Pada suatu ketika Rasulullah menjadi imam solat. Dilihat oleh sahabat, pergerakan Baginda antara satu rukun ke satu rukun yang lain amat sukar sekali. Dan mereka mendengar bunyi menggerutup, seolah-olah sendi tubuh Baginda yang mulia itu bergeser antara satu sama lain. Saidina Umar yang tidak tahan melihat keadaan Baginda. Selepas selesai bersembahyang Umar bertanya: “Ya Rasulullah, kami melihat seolah-olah tuan menanggung penderitaan yang amat berat, tuan sakitkah ya Rasulullah?”

"Tidak, ya Umar. Alhamdulillah, aku sihat dan segar," balas Baginda.

"Ya Rasulullah...mengapa setiap kali tuan menggerakkan tubuh, kami mendengar seolah-olah sendi bergeselan pada tubuh tuan? Kami yakin engkau sedang sakit..." desak Umar penuh cemas.

Akhirnya Rasulullah mengangkat jubahnya. Sahabat amat terkejut. Perut baginda yang kempis, kelihatan dililit sehelai kain berisi batu kerikil, buat menahan rasa lapar. Batu kecil itu yang menimbulkan bunyi halus setiap kali Baginda bergerak.

“Ya Rasulullah! Adakah apabila tuan menyatakan lapar dan tidak punya makanan, kami tidak akan mendapatkannya buat tuan?” tanya Umar.

Lalu, Baginda menjawab dengan lembut: “Tidak sahabatku. Aku tahu, apa pun akan engkau korbankan demi rasulmu. Tetapi apakah akan aku jawab di hadapan Allah nanti, apabila aku sebagai pemimpin, menjadi beban kepada umatnya?”

"Biarlah kelaparan ini sebagai hadiah Allah buatku, agar umatku kelak tidak ada yang kelaparan di dunia ini, lebih-lebih lagi tiada yang kelaparan di akhirat kelak.”

Baginda pernah tanpa rasa canggung sedikit pun makan di sebelah seorang tua yang penuh kudis, miskin dan kotor.

Rasulullah hanya diam dan bersabar apabila kainnya direntap dengan kasar oleh seorang Arab Badwi hingga berbekas merah pada lehernya.

Nabi dengan penuh rasa kehambaan membasuh tempat yang dikencing si Badwi dalam masjid sebelum menegur dengan lembut perbuatan itu.

Kecintaannya yang tinggi terhadap Allah dan rasa kehambaan yang sudah sebati dalam diri Rasulullah, menolak sama sekali rasa ketuanan. Seolah-olah anugerah kemuliaan daripada Allah, langsung tidak dijadikan sebab untuk Baginda berasa lebih daripada yang lain, ketika di depan ramai mahupun dalam keseorangan.

Pintu syurga terbuka seluas-luasnya untuk Baginda. Namun, Rasulullah masih lagi berdiri pada waktu sepi malam hari, terus menerus beribadah hingga pernah terjatuh lantaran kakinya bengkak.

Fizikalnya sudah tidak mampu menanggung kemahuan jiwanya yang tinggi. Apabila ditanya oleh Aisyah: "Ya Rasulullah, bukankah engkau telah dijamin syurga? Mengapa engkau masih bersusah payah begini?"

Jawab Baginda dengan lunak: “Ya Aisyah, bukankah aku ini hanya seorang hamba? Sesungguhnya aku ingin menjadi hamba-Nya yang bersyukur.”

Tiada ulasan:

Catat Ulasan