Mengenal peluru-peluru syaitan
BAGI mencapai kecemerlangan, tipu daya syaitan perlu dikenali dan diawasi kerana syaitan sentiasa mencari kesempatan menyerang dan merosakkan hati-hati manusia.
Menurut Imam Ghazali, di antara pintu yang sering digunakan syaitan adalah:
* Perasaan marah
* Nafsu syahwat
* Perasaan tamak dan dengki
* Kenyang
* Cinta kepada perhiasan dan harta benda
* Bergantung pada manusia
* Gopoh-gapah dan terburu nafsu
* Cinta kepada dinar, dirham dan emas (wang ringgit)
* Sikap kedekut dan bakhil
* Fanatik mazhab dan kelompok
* Berfikir berkenaan dengan zat, sifat dan af'al atau perbuatan Allah tanpa ilmu.
* Sikap mudah berburuk sangka terhadap orang-orang Islam
Hati yang cemerlang adalah hati yang suci bersih, yang mampu melihat alam ghaib sehingga ia mengenali Allah tanpa sebarang keraguan.
Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w., seorang lelaki bertanya kepada Baginda: "Ya Rasulullah, siapakah manusia terbaik?" Nabi menjawab: "Mereka adalah orang mukmin yang berhati makhmum." Orang itu bertanya lagi: "Apakah hati makhmum itu?" Nabi bersabda: "Ia adalah hati yang bertakwa lagi bersih, yang tidak ada di dalamnya penipuan, sikap melampaui batas, tipu daya, khianat dan hasad."
Hadis ini diriwayatkan oleh Ibn Majah dan bertaraf sahih. Hati yang bersih ditakuti oleh syaitan. Nabi pernah bersabda: "Tidak berjalan Umar di suatu lorong melainkan syaitan memilih jalan lain (supaya tidak bertembung dengan Umar)." Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim.
Perasaan gerun yang ditunjukkan oleh syaitan adalah disebabkan oleh kecemerlangan takwa yang wujud di dalam hati Umar.
Apabila hati bersinar dengan gemilang, Allah mengilhamkan kepada hati itu pelbagai ilmu dan petunjuk. Di antara ilham yang mungkin terhasil adalah firasat mukmin. Berhubung dengan ini, menurut Imam Tirmizi, Nabi s.a.w. bersabda: "Takutlah kamu dengan firasat mukmin kerana sesungguhnya dia melihat dengan nur Allah."
Contohnya, menurut Anas bin Malik, pada suatu hari beliau terpandang seorang wanita dan terpegun dengan kecantikannya. Kemudian selepas itu, beliau bertemu Uthman bin Affan. Uthman berkata: "Telah masuk ke majlisku seorang lelaki yang di matanya terdapat tanda-tanda zina."
Anas terkejut dengan perkataan Uthman dan terus bertanya: "Adakah masih ada wahyu selepas Nabi?" Jawab Uthman: "Tidak, tetapi yang ada adalah mata hati dan fisarat yang benar."
Begitu juga dengan peristiwa yang berlaku ke atas Khalifah Umar al-Khattab. Semasa beliau sedang menyampaikan ucapan di Madinah, tiba-tiba beliau berkata: "Wahai Sariah, pergilah ke bukit, ke bukit." Rupa-rupanya, pada masa itu beliau dapat melihat tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh Panglima Sariah sedang mengalami kekalahan, sedangkan pada masa itu mereka berada jauh dari Madinah.
Beliau terus mengarahkan Sariah supaya membawa tentera-tentera Islam ke bukit. Menurut Sariah, beliau dapat mendengar suara Umar dengan jelas dan terus mematuhi arahannya sehingga mereka beroleh kemenangan. Ia adalah bentuk-bentuk ilham yang dianugerahkan Allah kepada mereka yang mempunyai hati yang bersih.
Hati perlu digilap selalu supaya terus bersinar. Andai kata tugas ini diabaikan, ia akan mati. Menurut Ibrahim bin Adham, lapan perkara mematikan hati, iaitu :
* Mengetahui hak Allah tetapi tidak menegakkan hak itu.
* Membaca al-Quran tetapi tidak melaksanakan suruhan-suruhannya.
* Mencintai Nabi s.a.w. tetapi mengabaikan sunahnya.
* Takutkan mati tetapi tidak mempersiapkan diri.
* Mengetahui syaitan adalah musuh tetapi ghairah mengikut kehendaknya.
* Takutkan neraka tetapi melakukan maksiat.
* Mahukan syurga tetapi tidak beramal soleh.
* Kekurangan diri sendiri dilupakan tetapi kekurangan orang lain diketengahkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan