ANTARA KESALAHAN BERKAITAN SOLAT
SOLAT adalah amalan pertama yang dihisab Allah pada akhirat nanti.
Jika Solat atau sembahyang seseorang baik, baiklah pula seluruh
amalannya dan begitulah sebaliknya.
Solat perlu dipelihara sebaik-baiknya. Antara kesalahan yang selalu
dilakukan berkaitan sembahyang adalah:
1. Meninggalkan sembahyang.
Hal ini adalah suatu kekufuran berdasarkan Al-Quran, Sunnah
dan Ijmak. Allah berfirman bermaksud: "Apakah yang membuat
kalian masuk ke dalam Neraka Saqar?" Mereka menjawab:
"(Kerana) kami dulu tidak termasuk orang yang mendirikan
solat." (Surah Al-Muddatstsir, ayat 4)
Rasulullah saw bersabda: "Perjanjian antara kami dengan
mereka adalah solat, barang siapa meninggalkannya maka dia
kafir." (Hadis riwayat Ahmad dan lainnya).
2. Melengah-lengahkan solat.
Firman Allah swt bermaksud : Sesungguhnya solat itu wajib
atas orang beriman dalam waktu yang sudah ditentukan."
(Surah an-Nisa, ayat 103)
Oleh itu, melengah-lengahkan solat tanpa uzur yang
dibolehkan syarak adalah berdosa besar. Rasulullah bersabda:
"Itu adalah solat orang munafik. Dia duduk menunggu
matahari, sampai jika matahari sudah berada antara dua
tanduk syaitan (hendak tenggelam) dia berdiri dan melakukan
empat rakaat, sedangkan dia tidak mengingat Allah dalamnya
kecuali sedikit." (Hadis riwayat Muslim).
3. Tiada thuma'ninah dalam solat.
Thuma'ninah adalah rukun solat dan tidak sah solat tanpanya.
Thuma'ninah ertinya tenang ketika sedang rukuk, iktidal,
sujud dan duduk antara dua sujud.
Tenang maksudnya sampai tulang kembali pada posisi dan
persendiannya, tidak tergesa-gesa dalam penggantian dari
satu rukun ke rukun lainnya.
4. Tidak khusyuk dan banyak gerakan dalam solat.
5. Mendahului atau menyamai perlakuan Imam.
Hal ini boleh menyebabkan solat terbatal. Makmum hendaklah
mengikuti Imam, tidak mendahului atau menyamai perbuatan
Imam.
Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya diadakannya Imam itu
untuk diikuti, kerana itu jika dia (Imam) bertakbir,
bertakbirlah, dan jangan kalian bertakbir sampai dia
bertakbir, dan jika dia rukuk, maka rukuklah dan jangan
kalian rukuk sampai dia rukuk." (Hadis riwayat al-Bukhari
dan Muslim).
6. Bangun dari duduk untuk menyempurnakan
rakaat berikutnya sebelum Imam selesai dari salam kedua bagi
yang 'masbuq' (tidak bersama Imam semasa takbiratul ihram).
7. Memandang ke langit (atas) atau menoleh
ke kiri dan ke kanan ketika solat.
Hal ini diperkatakan Rasulullah dalam sabdanya: "Hendaklah
orangmu berhenti daripada mendongakkan pandangannya ke
langit ketika solat atau Allah tidak mengembalikan
pandangannya kepada mereka." (Hadis riwayat Muslim).
"Dan jauhilah orang yang menoleh dalam solat kerana
sesungguhnya ia adalah suatu kebinasaan." (Hadis riwayat
At-Tirmizi)
8. Mengenakan pakaian nipis yang tidak
menutupi aurat.
Hal ini membatalkan solat kerana menutup aurat adalah syarat
sah solat. Tidak memakai tudung dan menutupi telapak kaki
bagi wanita kerana aurat wanita dalam solat adalah seluruh
tubuhnya kecuali wajah dan telapak tangan.
Ummu Salamah ditanya mengenai pakaian solat wanita. Beliau
menjawab: "Hendaknya dia solat dengan kerudung, dan baju
kurung panjang yang menutupi kedua-dua telapak kakinya."
9. Melintas di depan orang yang sedang
solat.
Rasulullah bersabda: "Seandainya orang yang lalu di depan
orang solat itu mengetahui dosanya, tentu berhenti
(menunggu) empat puluh (tahun) lebih baik baginya daripada
melintas di depannya." (Hadis riwayat al-Bukhari dan
Muslim).
10. Tidak melakukan takbiratul ihram ketika
mendapati imam sedang rukuk.
Takbiratul ihram adalah rukun solat dan wajib dilakukan
dalam keadaan berdiri, baru kemudian mengikuti Imam yang
sedang rukuk.
11. Melakukan sesuatu yang melalaikan daripada
solat seperti menonton televisyen dan bersembang.
Allah berfirman, maksudnya: "Wahai orang beriman, janganlah
hartamu dan anak-anakmu melalaikanmu daripada mengingat
Allah, barang siapa melakukan demikian maka mereka itulah
orang yang rugi." (Surah Al-Munafiqun, ayat 9).
12. Makruh memejamkan mata ketika solat tanpa
keperluan.
Seperti diriwayatkan Ibnu Qayyim berkata, Nabi tidak
mencontohkan solat dengan memejamkan mata. Tetapi, jika
memejamkan mata diperlukan, misalnya, kerana di hadapannya
ada lukisan atau sesuatu yang menghalangi kekhusyukannya
maka hal itu tidak makruh.
13. Tidak melurus atau merapatkan barisan ketika
berjemaah.
Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Kalian mahu meluruskan
barisan kalian atau Allah akan membuat perselisihan antara
hati kalian." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
14. Tidak memperhatikan sujud dengan tujuh
anggota.
Nabi Muhammad saw bersabda: "Kami diperintahkan untuk sujud
dengan tujuh anggota; kening dan beliau mengisyaratkan
dengan tangannya sampai ke hidungnya, dua tangan, dua lutut
dan dua telapak kaki (perut hujung jari kaki)." (Muttafaq
Alaih)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan