Assalamualaikum
untuk pengetahuan anda
segala posting yang di terbitkan di dalam blog ini
adalah sumber/artikel/cerita dari mailbox saya yang telah
dikongsi oleh rakan rakan group
jadi..janganlah anda menuduh saya mengambil,mengedit dan selain nya dari mana mana fakta
kerana niat saya hanya untuk berkongsi sumber/artikel/cerita
yang telah saya baca
harap maklum
ikhlas
sweetmiko
untuk pengetahuan anda
segala posting yang di terbitkan di dalam blog ini
adalah sumber/artikel/cerita dari mailbox saya yang telah
dikongsi oleh rakan rakan group
jadi..janganlah anda menuduh saya mengambil,mengedit dan selain nya dari mana mana fakta
kerana niat saya hanya untuk berkongsi sumber/artikel/cerita
yang telah saya baca
harap maklum
ikhlas
sweetmiko
Selasa, 27 Mac 2012
Tangkal ayat al-Quran termasuk perbuatan syirik
Tangkal ayat al-Quran termasuk perbuatan syirik
Oleh Mohd Shukri Hanapi
PENGGUNAAN tangkal atau tamimah (dalam bahasa Arab) lama berakar umbi dalam masyarakat Melayu, malah ia masih banyak digunakan hingga hari ini. Dalam masyarakat Arab, tangkal diberikan dengan pelbagai nama, termasuk al-Hirz atau al-Hijab (pelindung).
Kebiasaannya tangkal itu diikat pada leher, pergelangan tangan, pinggang dan kaki kanak-kanak mahupun orang dewasa. Antara tujuannya mengelakkan daripada gangguan jin, iblis, sawan, cacing dan sakit.
Meskipun tujuan penggunaannya menampakkan ada sedikit kebaikan, daripada perspektif Islam mengguna dan mempercayai tangkal termasuk dalam perbuatan syirik. Hal ini kerana seseorang yang memakai tangkal hatinya sudah tentu yakin dan percaya terhadap kekuatan tangkal itu.
Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya jampi, tangkal dan sihir adalah syirik." (Hadis riwayat Abu Daud).
'Uqbah bin 'Amir meriwayatkan bahawa ada sepuluh orang datang untuk berbai'ah dengan Rasulullah. Namun, Baginda hanya menerima sembilan orang. Seorang lagi tidak diterima. Kemudian ada di kalangan mereka bertanya: "Mengapa dia tidak diterima?” Rasulullah menjawab: "Kerana pada lengannya ada tangkal."
Setelah itu, lelaki berkenaan memotong tangkal yang dipakainya, barulah Rasulullah menerima bai'ah daripadanya. Seterusnya Baginda bersabda bermaksud: "Sesiapa yang menggantungkan tangkal, sesungguhnya dia telah syirik." (Hadis riwayat Ahmad dan al-Hakim).
Sebenarnya tangkal tidak langsung memberi manfaat kepada pemakainya, malah menjauhkan lagi daripada sesuatu yang dihajatinya. Hal ini kerana seseorang hamba itu boleh berdoa dan memohon secara terus kepada Allah apa yang dihajatinya tanpa menggunakan ‘perantaraan’ atau ‘jalan tengah’.
Apabila seseorang itu menggunakan ‘perantaraan’, maka Allah tidak akan memperkenankan hajatnya, malah dijauhkannya daripada hajat itu.
Diriwayatkan daripada 'Imran bin Hussin bahawa Rasulullah melihat seorang lelaki memakai gelang berwarna kuning pada lengannya, lalu Baginda bertanya: "Apakah ini? Lelaki itu menjawab: "Saya memakainya kerana bahu saya mengalami sengal-sengal."
Lalu Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya benda itu tidak memberi apa-apa kesan kecuali kelemahan. Oleh itu, lucutkan ia daripada lenganmu. Sesungguhnya jika engkau mati dan benda itu (tangkal) masih berada pada badanmu, nescaya engkau tidak akan bahagia selama-lamanya." (Hadis riwayat Ahmad).
Dalam hadis lain, Baginda bersabda: "Sesiapa yang menggantungkan tangkal dan azimat, maka Allah tidak akan menyempurnakan baginya (hajatnya), dan sesiapa yang menggantungkan cengkerang siput (jenis tangkal), maka semoga Allah tidak mententeramkan baginya (dengan siput itu)." (Hadis riwayat Ahmad, al-Hakim dan Ibn Hibban).
Itulah pendidikan yang diberikan oleh Rasulullah kepada sahabat. Pendidikan ini dapat mempengaruhi jiwa sahabat sehinggakan mereka menentang keras segala kesesatan dan kebatilan yang berlaku. Mereka tidak mempercayai sesuatu selain daripada Allah.
Diriwayatkan bahawa pada suatu ketika Abdullah bin Mas'ud masuk ke rumahnya, tiba-tiba beliau melihat isterinya memakai kalung (tangkal). Beliau terus menarik tangkal itu dan memotong-motongnya. Kemudian Abdullah berkata: "Keluarga Abdullah harus jauh daripada mensyirikkan Allah dengan sesuatu perkara."
Abdullah menjelaskan lagi dengan berkata: "Saya mendengar Rasulullah bersabda bermaksud, sesungguhnya tangkal, azimat dan pengasih adalah syirik." (Hadis riwayat Ibn Hibban).
Begitulah juga golongan tabi'in, mereka sentiasa menentang segala kesyirikan dan kebatilan. Sa'id bin Jubair berkata: "Sesiapa yang menanggalkan tangkal daripada leher seseorang, maka seolah-olah dia membebaskan seseorang hamba." (al-Qardawiy, 1994:1:320).
Isa bin Hamzah pula menceritakan: Suatu ketika saya pernah masuk ke dalam rumah Abdullah bin Hakam. Saya melihat pada diri Abdullah ada tanda merah, lalu saya bertanya: "Apakah kamu memakai tangkal?" Jawab Abdullah: "Lebih baik aku mati daripada bertangkal, sebab Rasulullah bersabda: Sesiapa yang memakai sesuatu (tangkal), maka dia akan dibebaninya." (Hadis riwayat at-Tirmizi).
Demikianlah sikap sahabat dan tabi'in terhadap sesuatu perkara yang ditegah oleh Rasulullah. Mereka sangat berhati-hati dengan setiap perkara yang berkaitan dengan akidah. Malah, mereka menerima segala didikan Rasulullah dengan hati terbuka tanpa mempersoalkannya.
Berhubung jenis tangkal daripada ayat al-Quran, ada sesetengah ulama membenarkan penggunaan dan pemakaiannya. Namun, al-Qadawiy (1994:1:321) berpendapat ia juga wajar dilarang.
Dalil yang dikemukakan adalah:
l Hadis yang menegah amalan bertangkal adalah berbentuk umum. Ia tidak membezakan antara satu bentuk tangkal dengan yang lain. Ketika Rasulullah menegah seorang lelaki memakai tangkal, Baginda tidak pun berkata kepadanya adakah tangkal itu daripada al-Quran atau tidak. Sebaliknya, Baginda menegah tangkal dalam apa juga bentuknya.
l Berdasarkan prinsip sadd al-Zara'i (menutup pintu keburukan). Sesungguhnya sesiapa yang memakai tangkal daripada ayat al-Quran, tentu dia akan menggantungkan tangkal yang lain pula. Orang yang melihatnya tidak akan mengetahui sama ada tangkal itu al-Quran atau tidak.
l Ia adalah satu bentuk penyalahgunaan al-Quran. Pemakai tangkal akan memasuki tandas, beristinjak, qada hajat dan berada dalam keadaan janabah atau haid bagi wanita, sedangkan tangkal itu sentiasa terikat pada badannya.
Berdasarkan hujah di atas, mengguna dan mempercayai tangkal adalah dilarang. Larangan ini tidak kira apa juga bentuk tangkal itu, sama ada daripada ayat al-Quran atau tidak.
Ibrahim al-Nakhaei berkata: "Mereka (sahabat) membenci tangkal dalam apa juga bentuknya, sama ada daripada al-Quran atau bukan daripada al-Quran." (al-Qardawiy, 1994:1:320).
Sesungguhnya mempercayai atau bergantung harap kepada tangkal menyebabkan akidah seseorang itu rosak. Hal ini kerana jelas wujudnya unsur penyukutuan Allah dengan sesuatu yang lain.
Mentauhidkan Allah adalah ajaran Islam terpenting. Termasuk dalam prinsip tauhid ini adalah keyakinan sepenuhnya bahawa tidak ada sesuatu yang dapat memberi sebarang kemanfaatan atau menolak kemudaratan, melainkan Allah.
Allah berfirman bermaksud: "Dan jika Allah mengenakan (menimpakan) engkau dengan bahaya bencana, maka tidak ada sesiapa pun yang dapat menghapuskannya melainkan Dia sendiri; dan jika Dia mengenakan (melimpahkan) engkau dengan kebaikan, maka Dia adalah Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu. Dan Dialah yang Berkuasa atas sekalian hamba-Nya (dengan tadbir dan takdir); dan Dialah Yang Maha Bijaksana serta Amat Mendalam Pengetahuan-Nya." (Surah al-An'am, ayat 17-18).
Oleh itu, jelas bahawa akidah adalah perkara yang cukup sensitif dalam agama Islam. Ia tidak boleh dipersenda atau dipermain-mainkan sama ada dengan hati, perkataan mahupun perbuatan.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan