CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Assalamualaikum

untuk pengetahuan anda
segala posting yang di terbitkan di dalam blog ini
adalah sumber/artikel/cerita dari mailbox saya yang telah
dikongsi oleh rakan rakan group

jadi..janganlah anda menuduh saya mengambil,mengedit dan selain nya dari mana mana fakta
kerana niat saya hanya untuk berkongsi sumber/artikel/cerita
yang telah saya baca

harap maklum

ikhlas
sweetmiko

Jumaat, 6 April 2012

Bab satu: kahwin misyar

Bab satu: kahwin misyar

Pencetus polemik 'kahwin misyar', Prof. Datuk Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid mendakwa perdebatan mengenai konsep perkahiwnan berkenaan sudah menyeleweng jauh dari konsep dan tujuan asal cadangan beliau. "Perdebatan kahwin misyar ini sudah jauh menyeleweng, ia penuh dengan prejudis dan pandangan-pandangan yang melampau. "Lelaki dan perempuan nampaknya menjadi emosi ketika membincangkan isu ini.
Sepatutnya kita menjadi orang yang sanggup mendengar dan bersabar dalam membincangkan isu ini. Mana tahu mungkin ada kebaikannya,"ujar beliau ketika dihubungi hari ini. Dr Zuhdi yang merupakan pensyarah di Jabatan Fiqh dan Usul di Fakulti Pengajian Islam, Universiti Malaya mahu semua pihak yang berminat dengan isu tersebut, supaya kembali menghayati apa sebenarnya yang beliau sarankan. "Konsep kahwin misyar yang saya maksudkan ialah perkahwinan antara perempuan yang berpendapatan tinggi dan berpangkat dengan lelaki yang lebih rendah pendapatannya.

Saya tidak galakkan mereka duduk berasingan selepas berkahwin. "Dalam perkahwinan itu pihak perempuan bersetuju suaminya yang berpendapatan rendah tidak menanggung nafkah zahirnya, memadai memberikannya kasih sayang, menjadi pemimpin keluarga dan menunaikan tanggungjawab yang lain. "Saya tidak kata lelaki lari daripada tanggungjawab sebagai suami. Peranan sebagai suami tetap diteruskan, anak-anak terus diberikan perhatian.

Cuma suami diringankan tanggungan dari aspek kewangan, itupun selepas ada persetujuan bersama," jelas beliau. Menurut beliau, kawin misyar juga tidak bererti suami melepaskan terus tanggungjawab menyara keluarga. Bukan untuk berpoligami "Atas persetujuan bersama, suami berkenaan menyara keluarganya mengikut kemampuannya dengan dibantu oleh isterinya yang berpendapatan lebih tinggi,"jelasnya lagi. Malah, katanya, ikatan suami isteri yang bermula dengan perkahwinan misyar juga boleh ditukar menjadi perkahwinan biasa jika ditakdirkan selepas berkahwin mereka, pekerjaan dan pendapatan suami bertambah baik. Beliau juga menegaskan, saranannya juga tidak menyentuh soal poligami kerana beliau menyarankan wanita berpangkat dan berada berkahwin dengan lelaki berpendapatan rendah, bukan berkahwin dengan suami orang.

 "Saya rasa sudah sampai masanya masyarakat kita berhenti memandang serong pada perkahwinan tidak sama taraf atau tidak sekufu. Kita perlu berlaku adil pada wanita-wanita yang sanggup berkahwin dengan lelaki yang lebih rendah pangkat atau kedudukannya,"ujar beliau. Menurutnya lagi, soal konsep perkahwinan misyar disalahgunakan juga tidak timbul kerana dalam perkahwinan biasapun banyak berlaku penyelewengan. "Saya menyetujui konsep kahwin misyar ini kerana saya lihat ia mampu mengatasi masalah andartu atau ibu tunggal yang semakin ramai. Saya tidak nampak bagaimana ia menjatuhkan martabat wanita kerana semua dibuat atas persetujuan bersama,"tambah beliau.

Dr Zuhdi juga menjelaskan, perkahwinan misyar juga tidak akan menimbulkan masalah pengabaian tanggungjawab terhadap anak-anak, harta sepencarian dan soal faraid kerana semua hukum itu telah termaktub dalam al-Quran dan perlu dipatuhi oleh pasangan suami-isteri.

bab dua: kahwin misyar

Petikan Ceramah Nikah Misyar oleh Dr Asri Zainul Abidin

Ulama' Khilaf Dalam Membolehkan Pernikahan Misyar:1) Mereka yang mengharamkan: Sheikh Nasiruddin al-Albani dan beberapa ulama lain. Alasan mereka ialah kerana tidak sampai maksud perkahwinan iaitu kewajipan suami kepada isteri seperti nafkah, tempat tinggal dan lain-lain.2) Tidak memberikan hukum: Ulama yang berpendapat sebegini ialah Sheikh Shalil al-Uthaimin.3) Menghalalkan akan tetapi tidak menggalakkannya.

Dipegang oleh Dr. Yusuf al-Qaradhawi dan beberapa ulama' lain. Majma' Fiqh Islam Sedunia membenarkannya.Alasan mereka yang membenarkan ialah:

1) Bukan suami yang mengambil hak isteri, akan tetapi si isteri yang menawarkan untuk haknya ditarik. Sebagai contoh seorang wanita berkata kepada seorang lelaki bahawa lelaki tersebut tidak perlu menanggung kewangannya, dan hanya tinggal bersamanya beberapa hari sahaja.
Dalam kes ini wanita tersebut sendiri yang menawarkan haknya untuk dikurangkan. Ini sama seperti kes isteri Nabi Muhammad SAW, Ummul Mukminin Saudah yang memberikan giliran harinya untuk bersama Rasulullah SAW kepada Ummul Mukminin 'Aisyah RA.

2) Bukan suami yang meminta hak itu dikurangkan, sebaliknya wanita tersebut yang menawarkannya.

3) Seeloknya di siasat benarkah isteri itu memang benar-benar sanggup menyerahkan haknya atau hanya cakap sahaja ketika sedang kemaruk cinta. Sebagai contoh, jika dia berkata bahawa si lelaki tidak perlu menanggung kewangannya, maka perlulah bertanya benarkah dia memang betul-betul mampu menanggung dirinya sendiri tanpa tanggungan suami, dan benarkah dia memang rela untuk mengurangkan haknya.
Pro dan Kontra:

Pro:
1) Perkahwinan ini dapat mengurangkan jumlah wanita yang tidak berkahwin.
2) Meredakan tekanan emosi bagi wanita berkerjaya yang mahu bersuami tetapi ramai lelaki yang enggan kerana takut untuk menanggung wanita berpendapatan tinggi.
3) Mengurangkan maksiat zina dan muqaddimah zina lebih-lebih lagi kepada golongan muda seperti pelajar-pelajar universiti, lebih-lebih lagi kebanyakan mereka sudah mempunyai pasangan masing-masing, becintan-cintun, dan ke hulu ke hilir dengan bukan mahram.

Kontra:
1) Takut-takut berlaku penindasan ke atas wanita.
2) Masalah jika si isteri mengungkit-ungkit.

bab tiga: kahwin misyar

Syor benarkan lelaki mengamalkan perkahwinan misyar
Oleh: WAN MOHD. HAFIZ WAN HAMZAH KUALA LUMPUR

24 Mei - Seorang pensyarah universiti hari ini mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin. Malah menurut Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid, perkahwinan tersebut juga mampu mengurangkan perlakuan maksiat di dalam masyarakat. Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.

Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab. Beberapa ulama termasuk Dr. Yusuf al-Qaradawi dalam Fatwa Muasaraahnya berpendapat nikah misyar adalah sah. Mereka membenarkan amalan tersebut berdasarkan situasi mashalahat berlakunya ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin. Perkahwinan misyar difatwakan harus oleh beberapa ulama negara Arab dan telah pun diamalkan di Arab Saudi serta beberapa buah negara Teluk.

Perbezaan antara perkahwinan misyar dengan mutaah ialah mutaah mempunyai tarikh atau tempoh tertentu bagi sesebuah perkahwinan manakala misyar tiada tempoh ditetapkan. Isu nikah misyar mula menjadi tumpuan apabila beberapa pihak menggesa supaya Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa sama ada ia boleh dilaksanakan di negara ini atau tidak. Ini kerana ada umat Islam di Malaysia yang berpendapat bahawa pernikahan tersebut merupakan salah satu cara bagi mengatasi masalah ramai wanita yang belum berkahwin.

Mahmud Zuhdi berkata, amalan perkahwinan misyar boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan daripada kedua-dua belah pihak. ``Jika pihak isteri bersetuju bahawa lelaki tidak perlu memberi nafkah zahir seperti menyediakan rumah, pakaian dan sebagainya, tetapi hanya bertanggungjawab terhadap nafkah batin saja, maka ia tidak menjadi masalah,'' tegasnya. Apa yang menjadi masalah kata beliau, apabila timbul pertikaian berhubung siapa yang bertanggungjawab memberi nafkah dalam rumahtangga. ``Sekiranya tidak timbul soal siapa yang patut memberi nafkah atau siapa yang patut menanggung siapa, maka perkahwinan seperti itu tidak ada masalah untuk diamalkan. ``Apatah lagi dalam keadaan hari ini, wujudnya masalah ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin,'' jelas beliau.

Mahmud Zuhdi berkata, amalan perkahwinan misyar boleh dilaksanakan jika mendapat persetujuan daripada kedua-dua pihak. ``Jika pihak isteri bersetuju bahawa lelaki tidak perlu memberi nafkah zahir seperti menyediakan rumah, pakaian dan sebagainya, tetapi hanya bertanggungjawab terhadap nafkah batin saja, maka ia tidak menjadi masalah. ``Apatah lagi dalam keadaan hari ini, wujudnya masalah ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin,'' jelas beliau.

Mahmud Zuhdi berpendapat, perkahwinan seumpama itu sepatutnya dibenarkan, berdasarkan permasalahan yang berlaku pada masa kini. Bagaimanapun, katanya perkahwinan ini harus dilakukan secara jujur dan tidak disalahgunakan bagi menganiaya kaum wanita.

bab empat: kahwin misyar

Dari mana asalnya Misyar?Ada sepuluh bentuk mubalaghah dalam bahasa Arab dan dua di antaranya adalah dua perkataan ini - zawwaq dan mitlaq. (Lihat, al-Jurnani, Shaza al-'Arf fi fanal-Sarf). Zawwaq yang berasal dari zauq atau rasa, mempunyai erti banyak atau sering 'merasakan' dengan pengertian selalu berkahwin manakala mitlaq yang berasal dari talaq mempunyai erti banyak atau selalu melakukan perceraian.

Mitlaq membawa maksud kata misyar yang sedang heboh diperkatakan sekarang. Kedua-duanya dalam satu bentuk mubalaghah yang sama iaitu mif'al. Misyar dibaca mis-yaar berasal daripada kata sayr yang bererti berjalan atau mengembara dan mempunyai erti banyak atau selalu berjalan, mengembara dan akhirnya kita boleh sebut sebagai pengembara. Jadi kahwin misyar adalah kahwin pengembara.
Bunyinya sahaja dah pelik, apa lagi kalau kita cuba mengkaji kewarasan diharuskan nikah misyar ini diwaktu sekarang.
Ini adalah kerana pengamalnya secara nyata adalah kerahsiaan, tidak ada wali, tidak perlu memberi nafkah zahir, tidak perlu tinggal bersama dalam satu bumbung dan si lelaki mempunyai niat menceraikan siperempuan bila-bila masa tanpa diketahui bila masanya sahaja.

Sejarah Nikah Misyar dan Jenis Kahwin yang diharamkanDi dalam sejarah kedatangan Islam ke Makkah, terdapat banyak bentuk perkahwinan yang diamalkan orang jahiliyyah.Di antaranya:
1) Kahwin al-maqt iaitu anak tertua mengahwini isteri bapa yang meninggal dunia
2) Kahwin al-khidn iaitu seorang isteri mempunyai lelaki lain selain suaminya
3) Kahwin al-istibda' iaitu si suami menyuruh isterinya untuk tidur dengan lelaki lain demi mendapatkan zuriat
4) Kahwin al-rahth iaitu seorang wanita mempunyai kurang daripada sepuluh lelaki saling mengenal dan menggaulinya di mana akhirnya si wanita itu akan menentukan siapa bapa anak yang dikandungnya
5) Kahwin al-baghaya atau pelacur.
6) Nikah al-ahibba atau 'kahwin kekasih' di mana suami isteri sedia maklum masing-masing mempunyai pasangan lain.Semua bentuk perkahwinan ini dilarang dan diharamkan Islam secara kekal dan yang dibenarkan adalah perkahwinan yang wujud sekarang.Perkahwinan tanpa tanggungjawab jejas kestabilan institusi keluargaPerkahwinan misyar membawa maksud suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian dan cukup sekadar memenuhi nafkah batin terhadap isteri.

Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab.Amalan sebegini dibenarkan dan pernah terjadi berdasarkan situasi mashalahat di mana terdapat ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin. Isu nikah misyar menjadi topik perbualan hangat di negara kita apabila banyak pihak mendesak pihak Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa sama ada ianya boleh dilaksanakan atau tidak di sini.Seprti selalu apabila ianya bersabit dengan hukum hakam, tentu saja isu seperti ini akan mengundang perdebatan hangat kerana apa saja yang berkait dengan hukum Islam ianya bersifat sensitif dan sekiranya tidak ditangani dengan betul, ia akan mengundang kontroversi yang berpanjangan.

Apakah benar pernikahan misyar salah satu cara mengatasi masalah ramai wanita yang belum berkahwin? Dan apa pula bezanya dengan perkahwinan mutaah? Perkahwinan mutaah mempunyai tarikh atau tempoh tertentu bagi sesebuah perkahwinan manakala misyar tiada tempoh ditetapkan.
Nikah Misyar tidak wajar. Ramai wanita, baik yang berpendidikan tinggi sekalipun, tidak mungkin bersetuju dengan perkahwinan misyar ini. Fitrah wanita itu sendiri memerlukan perlindungan dari kaum lelaki untuk menjaga dan memberi keperluan asas kepada mereka. Sifat lahiriah seorang lelaki pula yang lebih kuat fiziknya tidak memungkinkan peranan lelaki yang sinonim dengan tanggungjawab dan amanah digalas oleh wanita.Pendapat ini bukan berdasarkan emosi atau satu pandangan yang cetek dari pemikiran yang dangkal tentang hukum dan tuntutan Islam. Di mana letaknya nilai keadilan dan pembelaan hak asasi wanita? Siapa pula yang patut mendukung peranan membela dan mencukupkan keperluan anak-anak? Semenjak azali, lelakilah yang menjadi nakhoda dan tanggungjawab keseluruhan pentadbiran rumahtangga itu sendiri terletak di bahu lelaki. Wanita atau Isteri sekadar membantu mentadbir. Kenapa pula tiba-tiba peranan ini dianggap mudah.
Semacam ada yang tidak kena apabila senario ini berlaku. Teringat saya kepada zaman jahilah di Arab, ketika bayi perempuan ditanam secara hidup-hidup dan wanita diperlakukan sesuka hati dan martabat wanita terletak begitu rendah sekali.Bagi saya perkahwinan misyar adalah satu penghinaan kepada kaum wanita dan secara langsung memberi izin kepada lelaki untuk tidak bertanggungjawab. Nabi Muhammad SAW sendiri, walaupun dipinang oleh janda kaya Siti Khadijah tetapi tidak bermakna Nabi Muhammad mengamalkan nikah misyar. Nabi masih menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab, mencukupkan nafkah zahir.

Misyar galak lelaki menjadi gigoloAdakah kerana wanita lebih kaya dan berkemampuan maka suami tidak perlu lagi menjalankan tanggungjawab yang lain selain daripada tenaga batin. Inikah hak persamaan taraf yang ingin ditekankan. Sudahlah hak poligami milik lelaki sudah cukup menyiksa isteri, keadilan dan layanan yang sama tara adalah milik mutlak seorang yang bernama lelaki.Andaikata tuntutan sesuatu perkahwinan itu sekadar memenuhi tenaga batin wanita, maka apa bezanya lelaki kita dengan gigolo dan wanita sebagai hamba seks atau dalam erti kata lain sama tarafnya dengan perempuan murahan? Janganlah dicemar ikatan perkahwinan yang mulia dan suci. Nikah misyar adalah nikah nafsu dan nafsu itu sendiri perlu dididik dan dibendung agar tidak menguasai diri tetapi kalau itulah tujuan sesuatu perkahwinan untuk memuaskan hawa nafsu, di manakah sifat mulia dan malu umat yang bernama lelaki.

Antara maruah wanita dan mencegah maksiat?Maruah wanita perlu dijaga. Jangan biar diri wanita diletak ditempat yang begitu rendah. Wanita semulia-mulia kejadian dianugerahkan keupayaaan melahirkan anak. Adakah sekadar melepaskan tanggungjawab melakukan keperluan seks sudah melayakkan seorang lelaki bergelar suami. Renungkanlah.Janganlah dijadikan alasan menangani maksiat untuk memartabatkan nikah misyar. Kita diberi akal untuk berfikir bukan untuk mencari alasan. Apa kaitan maksiat dengan nikah misyar?
Apa yang perlu untuk menyelesaikan kes maksiat adalah dengan mencari jalan bagaimana untuk menundukkan nafsu seks dan puasa salah satu darinya. Sejauhmana nikah misyar membantu menyelesaikan maksiat? Pendidikan agama penting diterapkan di dalam diri anak-anak muda kita supaya mereka sedar apa yang mereka lakukan ialah satu dosa. Perkhidmatan kaunseling patut diberikan dan banyak lagi langkah yang bernas kita boleh ambil untuk mengatasinya.

Wanita tidak mahu berkahwin adalah satu masalah yang perlu diselesaikan tetapi jangan pula keadaan ini dijadikan alasan utama kepada perkahwinan misyar. Persoalannya sekarang apakah kewajarannya?Adakah wanita sanggup berkahwin dengan seorang lelaki yang hanya melaksananakan tanggungjawab tenaga batin dan kepuasan nafsu semata-mata? Janganlah merendahkan martabat lelaki ke taraf sang gigolo yang suka mengambil kesempatan.

Wanita tidak kahwin kerana lelaki rendah moral?Wanita hari ini tidak berkahwin kerana ramai lelaki semakin tidak bertanggungjawab dan tidak mempunyai moral yang boleh dibanggakan seperti sebilngan besar yang memilih untuk menjalani kehidupan homoseksual.
Cuba tanya wanita mana yang sanggup berkahwin dengan lelaki yang tidak mahu melaksanakan tanggungjawab nafkah dan lain-lain. Adakah wanita normal yang cuma inginkan kepuasan seks sahaja sebagai syarat perkahwinan?
Ramai wanita tidak berkahwin kerana mereka sendiri tidak percaya dengan instituisi perkahwinan itu sendiri dan sikap lelaki yang tidak dapat memberi keyakinan membuat wanita tawar hati.Semakin sukar mencari lelaki yang bertanggungjawab, jadi jalan penyelesaiannya bukan nikah misyar kerana ianya akan memburukkan lagi keadaan.
Wanita memerlukan seorang lelaki yang boleh mereka harapkan, menjaga, menyayangi dan melindungi mereka - beriman dan bertanggungjawab. Perkahwinan bukan untuk tuntutan seks semata-mata. Itu kesilapan besar yang perlu kita betulkan agar umat Islam tidak dipandang serong oleh masyarakat lain. Bagi kaum lelaki, jadilah lelaki sejati yang beriman dan berkahwin misyar tentu sahaja bukan jalan yang betul untuk menuju ke arah itu! 


 Sumber :

1 ulasan:

  1. misyar amat sesuai bagi mereka yg memahami dan memerlukan..inilah jalan penyelesaian kepada kita yg memerlukan...

    BalasPadam