Hindari bisikan syaitan
FENOMENA cerita seram kini dilihat semakin giat dihasilkan penerbit filem, sekali gus menyaksikan lambakan filem genre seram di pasaran, sama ada oleh penerbit tempatan mahupun luar negara.
Jika kita lihat perkembangan terhadap penghasilan filem sebegini, sebenarnya sejak 1980-an lagi filem dan drama seram dihasilkan.
Cuma pada awal 1990-an, genre filem ini bagai tenggelam sebelum ‘merasuk’ semula menjelang alaf baru. Malah, sejak itu banyak filem bergenre seram ini menerjah pawagam tempatan.
Tidak kurang juga drama di stesen televisyen yang berlumba-lumba menyajikan penonton dengan elemen menakutkan. Mungkin kerana ‘rating’ tinggi, cerita seram ini mendapat slot tetapnya yang tersendiri di dalam program televisyen tempatan.
Akhirnya, lambakan cerita hantu mendapat perhatian masyarakat hinggakan ramai tampil mengkritik, tidak kurang juga menjadikannya topik perbualan di mana saja.
Oleh kerana cerita sebegini memaparkan elemen mistik, sudah tentu garapannya membawa kepada unsur tahyul, khurafat, bidaah serta unsur negatif kepada masyarakat kita yang sememangnya taksub dengannya.
Mungkin kita pernah terdengar sewaktu melalui zaman kanak-kanak ungkapan seperti: “Jangan main kat luar waktu Maghrib, nanti disorokkan hantu kopek!” atau “Jangan kerat kuku waktu malam, nanti harimau masuk rumah.” Saya juga yakin pembaca pernah mendengar kisah seram yang disampaikan daripada mulut ke mulut mengenai kisah ‘Volkswagen kuning’, Lebuh Raya Karak dan sebagainya.
Cerita seram ini kemudian sedikit demi sedikit mempengaruhi perlakuan dan sifat seseorang seperti daripada berani kepada penakut.
Antara perkara negatif lain yang mungkin timbul daripada cerita seram ini adalah ia memberi idea dan galakan untuk penonton mencuba membuat perkara jahat seperti permainan sihir membabitkan ilmu santau.
Itu jika dilihat daripada sudut negatifnya. Namun untuk artikel kali ini, saya lebih tertarik untuk membincangkan perkara positif yang mungkin boleh diambil daripada kebanjiran cerita bergenre mistik dan seram.
Sememangnya sebagai umat Islam, kita wajib mempercayai perkara ghaib. Sementelah dunia ini bukan saja didiami manusia, malah turut dihuni jin dan syaitan.
Kerana itu kita diminta berdoa supaya dilindungi Allah SWT daripada kejahatan jin dan manusia. Seperti yang terkandung dalam pengertian daripada surah An-Naas, yang bermaksud: “... Dari kejahatan pembisik penghasut yang timbul tenggelam. Yang melemparkan bisikan dan hasutannya ke dalam hati manusia (iaitu pembisik dan penghasut) dari kalangan jin dan manusia.” Saya masih ingat ketika zaman sekolah menengah, kami digemparkan dengan kejadian demi kejadian menimpa seorang pelajar yang dirasuk jin.
Kuasanya memang luar biasa hinggakan sukar menenangkannya. Namun, alhamdulillah, akhirnya ia selesai dengan izin Allah melalui bantuan seorang ustaz.
Antara sebab utama membuatkan manusia mudah didampingi jin adalah kerana rasa cinta jin kepada seseorang manusia.
Diceritakan dalam sebuah kisah yang berlaku pada zaman Ibnu Taimiyah. Seorang lelaki dirasuk seekor jin dan Ibnu Taimiyah berbisik ke telinga lelaki berkenaan dengan membaca ayat al-Quran dari Surah Al-Mukminun ayat 10, yang bermaksud: “Adakah kamu mengira bahawa Kami menciptakan kamu dengan sia-sia dan bahawa kamu tidak akan kembali kepada Kami?” Tiba-tiba roh itu menjawab: “Ya.” Kemudian, Ibnu Taimiyah mengambil sebatang tongkat dan memukul lelaki (orang dirasuk) itu di lehernya hingga berasa penat. Tiba-tiba roh halus itu bersuara menjawab: “Aku mencintainya.” Lantas Ibnu Taimiyah menjawab: “Dia tidak mencintaimu.” Maka jawab roh itu: “Jika demikian, aku akan pergi meninggalkannya sebagai penghormatan kepadamu.” Namun, Ibnu Taimiyah berkata: “Tidak. Kamu harus keluar daripada jasad ini kerana ketaatan kepada Allah dan Rasul-Nya.” Keluarlah roh halus berkenaan, dan lelaki yang dirasuk tadi beransur-ansur pulih.
Selain itu, kes sebegini sebenarnya berpunca daripada manusia. Antaranya apabila kita secara tidak sengaja masuk ke rumah yang lama dibiarkan kosong dan menjadi tempat kediaman jin.
Kerana itu, Islam mengajar kita memberi salam iaitu: “Assalamu ‘alaina wa’ala ‘ibadillahis saalihin” serta membaca ayat Kursi ketika masuk ke rumah kosong kerana khuatir ia ‘berpenghuni’.
Roh halus juga mudah mendampingi manusia pada saat seseorang itu lemah dan tidak di dalam ketaatan kepada perintah Allah dan Rasul, seperti lalai melakukan amal ibadah kepada Allah, ketika di puncak kemarahan, terlalu mengikut hawa nafsu dan dendam.
Perkara ini dinyatakan dalam surah An-Nahl, ayat 99-100, yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan tidak mempunyai pengaruh terhadap orang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka. Sesungguhnya pengaruh syaitan hanya terhadap orang yang menjadikan dia pemimpin mereka, dan orang yang dengan sebab hasutannya melakukan syirik kepada Allah.” Allah SWT juga berfirman dalam surah Al-Araf ayat 27, yang bermaksud: “... Sesungguhnya Kami menjadikan syaitan teman rapat bagi orang yang tidak beriman.” Kerana itu, berwaspada selalu kerana syaitan dan jin gemar mendampingi manusia ketika manusia lemah iman dan takwanya kepada Allah.
Ingat, sesungguhnya hidup kita didampingi pelbagai jenis manusia, syaitan dan jin yang mempunyai pelbagai ragam. Kadangkala manusia, jin serta syaitan berpakat untuk mengkhianati manusia lain.
Kita tidak tahu apa yang difikirkan manusia sekeliling kita mengenai diri kita. Mungkin ada sesuatu dendam atau iri hati yang terbuku di hati mereka apabila melihat kita. Ada juga yang dengki apabila melihat jodoh kita bersama pasangan kita. Tidak ada yang mustahil.
Kerana itu, berbanyaklah membaca al-Quran, mengamalkan ayat Kursi ketika hendak tidur dan selepas solat, amalkan juga membaca tiga surah iaitu An-Nas, Al-Ikhlas dan Al-Falaq.
Namun yang lebih penting, peliharalah solat kita. Insya-Allah, Allah akan memelihara hamba-Nya yang memelihara hak serta kewajipan kepada-Nya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan