CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Assalamualaikum

untuk pengetahuan anda
segala posting yang di terbitkan di dalam blog ini
adalah sumber/artikel/cerita dari mailbox saya yang telah
dikongsi oleh rakan rakan group

jadi..janganlah anda menuduh saya mengambil,mengedit dan selain nya dari mana mana fakta
kerana niat saya hanya untuk berkongsi sumber/artikel/cerita
yang telah saya baca

harap maklum

ikhlas
sweetmiko

Jumaat, 6 April 2012

bab lima: kahwin misyar

bab lima: kahwin misyar

Malaysia tak boleh halal kahwin misyar

Oleh Halina Mohd Noor

Perhimpunan Perundangan Islam berpusat di Makkah benar lelaki amalkan nikah ‘pengembara’
PERKAHWINAN misyar yang bertujuan sekadar menghalalkan hubungan seksual tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dianggap menghina wanita dan boleh disamakan seperti ‘pelacuran berbentuk halal’ yang hanya mempergunakan kesucian akad nikah. Malah, ia dikatakan amalan perkahwinan terburuk pernah diluluskan dalam sejarah perundangan Islam selepas perkahwinan mutaah yang menimbulkan kontroversi. Amalan ini tidak sesuai sama sekali, terutama pada saat wanita hari ini terpaksa berdepan pelbagai dilema suami yang mengabaikan tanggungjawab dan meninggalkan anak isteri sesuka hati tanpa nafkah atau selepas berlaku perceraian.

Beberapa tokoh agama yang dihubungi di negara ini turut menolak dan tidak bersetuju sama sekali perkahwinan misyar diamalkan di negara ini kerana konsepnya yang hanya menguntungkan lelaki semata-mata.Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria menegaskan kesucian ikatan perkahwinan tidak seharusnya dipermain-mainkan kerana ia adalah satu perjanjian yang dibuat antara wali dan si lelaki untuk mengambil seseorang wanita sebagai isteri bersama tanggungjawab ditentukan syarak.“Perkahwinan misyar tidak boleh dihalalkan, mahupun diterima masyarakat di negara ini. Sepanjang pengetahuan saya, belum pernah lagi berjumpa dengan amalan perkahwinan seumpama ini. Ia lebih teruk daripada mutaah. “Malah, dalam al-Quran sendiri tiada disebutkan amalan misyar. Mutaah diharamkan oleh kerajaan kerana ia menganiaya wanita. Jadi perkahwinan misyar tidak seharusnya dibolehkan apatah lagi matlamatnya hanya untuk menghalalkan persetubuhan. Tiada sebab ia perlu dihalalkan,” katanya.

Dalam hubungan ini, sungguh pun wanita itu sendiri reda dengan perkahwinan berkenaan, soalnya di mana letak maruah wanita apabila dinikahi lelaki semata-mata untuk melepaskan nafsunya. Tidak dapat dibayangkan betapa perkahwinan seumpama itu boleh mengucar-kacirkan institusi kekeluargaan hari ini yang semakin menuju kehancuran. Jika dibenarkan, maka mudahlah wanita dikahwini dan ditinggalkan begitu saja apabila perkahwinan itu sendiri mengizinkan lelaki untuk meninggalkan isteri berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang nafkah.Sememangnya amat wajar apabila aktivis hak asasi wanita di rantau Arab membantah keras keputusan Perhimpunan Perundangan Islam yang berpusat di Makkah meluluskan ketetapan untuk membenarkan lelaki Islam sunnah mengamalkan perkahwinan misyar, 12 April lalu.

Peguam Syariah dan Perunding Keluarga Islam, Prof Madya Noor Awang Hamat, berkata konsep perkahwinan misyar tiada bezanya dengan pelacuran apabila lelaki bebas menikahi mana-mana wanita yang disukainya dan menceraikannya sesuka hati selepas beberapa hari bernikah. Begitu juga sebaliknya, wanita boleh menikahi mana-mana lelaki yang disukainya. “Misyar bertentangan sama sekali dengan konsep asal perkahwinan yang bertujuan memelihara kesejahteraan wanita dan anak yang dilahirkan. Masyarakat kita tidak boleh menerima amalan ini sebab al-Quran sudah menetapkan perkahwinan itu yang berlandaskan mawaddah warrahmah (kasih sayang) yang tidak dapat diperoleh daripada misyar,” katanya.Beliau berkata, perkahwinan misyar mengetepikan hak wanita sebagai isteri tidak terlaksana yang sudah pasti melanggar hukum syarak. Walaupun isteri reda, wanita harus sedar perkahwinan berkenaan sekadar memberikan kepentingan kepada satu pihak semata-mata iaitu suami.

Beliau turut berpendapat perkahwinan misyar hanya akan memburukkan lagi keadaan yang dialami wanita hari ini yang diabaikan suami dari segi pemberian nafkah dan tanggungjawab lain. “Alasan mengamalkan misyar untuk mengelakkan perzinaan tidak boleh diterima kerana Islam memberikan alternatif lebih baik untuk tujuan berkenaan seperti poligami. Poligami sudah cukup untuk membendung gejala zina, tetapi malangnya masyarakat tidak mendapat maklumat tepat mengenainya menyebabkan poligami dianggap sesuatu yang negatif semata-mata. “Kita tidak boleh samakan keadaan di sini dengan lelaki di Arab Saudi kerana dari segi kewangan mereka lebih dominan dan akur dengan undang-undang syariah,” katanya.Setiausaha Parlimen di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mashitah Ibrahim turut menolak amalan perkahwinan misyar yang dianggap menzalimi wanita.“Dalam keadaan perkahwinan yang mengikut hukum syarak pun masih ramai yang sanggup mengabaikan tanggungjawab, inikan pula dengan perkahwinan misyar.

Ia tiada beza dengan mutaah, tetapi lebih teruk kerana menganggap wanita sekadar tempat memuaskan nafsu. Perkahwinan pada dasarnya untuk memelihara wanita dan zuriat yang dilahirkan bukan untuk dipermain-mainkan,” katanya.Beliau berkata, perkahwinan bukan sekadar untuk memuaskan nafsu, tetapi banyak lagi tuntutan lain yang perlu dipenuhi. Antaranya menyediakan keperluan asas seperti tempat tinggal, makan, pakai dan perbelanjaan lain. Persoalannya, apakah nasib yang bakal ditempuhi wanita selepas diceraikan melalui perkahwinan misyar?

Wanita tidak seharusnya terus dibiarkan terabai dengan pemikiran radikal seperti ini yang hanya merugikan wanita. Perkahwinan yang ditetapkan oleh hukum syarak sudah sempurna di mana pasangan hidup bersama dan memikul tanggungjawab masing-masing sehingga ke akhir hayat. Ironi sekali apabila kajian Arab News ke atas 60 lelaki yang menyatakan persetujuan mengamalkan perkahwinan ini, tetapi tidak akan membenarkan ia terjadi ke atas anak atau adik perempuan mereka.Sumber: Berita Harian Online

bab enam: kahwin misyar

Perlukah nikah misyar?
Oleh: NIK SALIDA SUHAILA NIK SALEH

NIKAH misyar yang juga dikenali sebagai ‘nikah musafir’ adalah sebuah perkahwinan yang tidak memerlukan pasangan tinggal sebumbung.
Bukan itu sahaja, suami tidak mempunyai tanggungjawab dari segi kewangan ke atas isterinya serta wujud implikasi bahawa akan berlaku perceraian.
Nikah misyar diamalkan di Mesir seawal tahun 1825 dan dalam era moden ini amalan tersebut diterima secara sah di Arab Saudi.
Oleh kerana pernikahan seumpama ini tidak wujud semasa zaman Nabi Muhammad s.a.w., majoriti umat Islam menolak amalan tersebut dan menyifatkannya sebagai ‘bidaah’.

Bagi nikah misyar, amalan kebiasaan ialah isteri terus tinggal dengan ibu bapanya dan suami misyar bebas untuk meninggalkan isteri dan anak-anaknya selama mana yang beliau kehendaki. Isteri tidak boleh menuntut cerai atas alasan ditinggalkan oleh suaminya.
Cadangan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin mungkin perlu disokong.Itupun sekiranya terdapat kajian yang menunjukkan bahawa masyarakat Malaysia mempunyai masalah untuk mendirikan perkahwinan biasa.
Memang benar bahawa perlakuan maksiat dapat dikurangkan menerusi perkahwinan.Tetapi soal penerimaan bentuk perkahwinan yang dibenarkan dalam Islam ini perlu mendapat kerjasama bukan sahaja daripada kaum wanita, badan-badan bukan kerajaan, para ibu bapa dan masyarakat tetapi juga undang-undang.

Pernikahan misyar dibenarkan di Arab Saudi oleh fatwa yang diberikan oleh Sheikh Abdul Azeez ibn Abdullaah ibn Baaz dan secara rasminya diperundangkan di Mesir oleh Imam Sheikh Muhammad Sayid Tantawy pada tahun 1999.Di sebalik fatwa tersebut nikah misyar ditentang oleh ulama-ulama dari Universiti Al-Azhar di Kaherah.Maslahah untuk membenarkan amalan tersebut adalah kerana ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin.Namun begitu realitinya di negara-negara Arab ia tidak sedemikian, kerana nikah misyar menjadi amalan di kalangan wanita-wanita yang berkedudukan tinggi dan kaya-raya.Nikah misyar juga tidak boleh mempunyai had masa tertentu kerana sekiranya terdapat tempoh masa yang dijanjikan kepada isteri untuk diceraikan, maka ia menjadi nikah mutaah yang tidak dibenarkan dalam Fiqh Sunnah.

Apa yang boleh diamalkan ialah isteri boleh tinggal bersama ibu bapa dan suami boleh berkunjung ke rumah tersebut pada bila-bila masa walaupun setelah mempunyai anak.Isteri tidak boleh memohon cerai kerana suami tidak memberikan sepenuh perhatian atau dengan kata lain mengabaikan tanggungjawabnya terhadap keluarga.
Suami juga boleh mengahwini wanita lain tanpa memberitahu apatah lagi mendapatkan kebenaran isteri, bahkan sekiranya berlaku perceraian, isteri dan anak-anak akan kehilangan segala hak yang boleh dituntut oleh isteri dan anak-anak yang diceraikan dalam pernikahan biasa.
Nikah misyar diperlukan dalam konteks masyarakat hari ini sekiranya kajian menunjukkan bahawa kaum lelaki tidak mampu berkahwin dan menyara isteri serta anak-anak.

Sebab itulah isteri dalam perkahwinan misyar dibenarkan terus menetap bersama ibu bapa dan suami hanya ‘bertandang’ sekiranya perlukan khidmat seksual.Persetujuan kedua-dua belah pihak amatlah penting kerana perkahwinan ini menuntut pengorbanan emosi dan perasaan yang tinggi.
Walaupun pasangan mengetahui batasan keperluan dan had tanggungjawab yang harus diberikan dan diterima, tetapi norma sebuah perkahwinan ialah kasih sayang dan perhatian yang tidak berbelah bahagi.

Para isteri juga tidak harus membandingkan perkahwinan dan komitmen suami mereka seperti perkahwinan biasa kerana ia jelas tidak sama.
Malahan sekiranya berlaku perselisihan faham, ia mungkin sukar diselesaikan kerana tiada faktor-faktor lain yang boleh mendorong merapatkan hubungan tersebut melainkan sekiranya suami datang ke rumah ibu bapa isteri atau alternatif perhubungan yang lain.
Tanpa menyediakan makan pakai, mengikat perut suami dengan masakan yang sedap, persekitaran rumah yang indah yang membangkitkan rasa kasih dan sebagainya agak sukar untuk isteri menunjukkan perhatian yang sewajarnya kepada suami sedangkan realiti sebuah perkahwinan adalah lebih daripada hubungan seksual.

Sama ada ia menganiaya wanita atau tidak, ia persoalan yang sangat subjektif kerana sekiranya wanita atau isteri nikah misyar merasakan bahawa khidmat seksual itu adalah klimaks objektif sebuah perkahwinan, maka mereka tidak mengharap komitmen yang selainnya.
Tetapi sekiranya ada isteri yang merasakan bahawa suami patut memberikan sedikit perhatian dan ia tidak berlaku, maka wanita tersebut merasakan ia teraniaya sedangkan hakikat nikah misyar adalah untuk hubungan kelamin semata.

Perbezaan utama antara nikah biasa dengan nikah misyar ialah pasangan tidak tinggal serumah tetapi akan saling berhubung antara satu sama lain dan suami tidak bertanggungjawab untuk memberi nafkah zahir kepada isteri walaupun syarat ini mungkin berbentuk perjanjian sementara.
Amalan nikah misyar dibimbangi sekiranya ia berlainan dengan niat asal sesebuah perkahwinan itu didirikan.Oleh itu, sekiranya nikah misyar diamalkan di Malaysia, maka undang-undang yang lebih jelas dan menjurus kepada amalan ini perlu dirangka bagi membolehkan ia dilakukan mengikut batasan syariat.Alasan untuk membenarkan kaum lelaki mengamalkan nikah misyar semata-mata bagi mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin juga harus diteliti secara mendalam.

Malah setiap perkahwinan itu hakikatnya berlangsung atas nama tanggungjawab yang lebih cenderung untuk dipikul oleh suami.
Tanpa tanggungjawab perkahwinan tidak akan membawa sebarang makna jauh sekali menepati objektifnya iaitu berkongsi hidup dan kasih sayang, bukannya berlandaskan seks semata-mata.Kajian juga perlu dibuat mengenai ego lelaki yang bersetuju supaya kahwin misyar dibenarkan kerana ia ternyata bertentangan dengan fitrah kejadian lelaki itu sendiri.Jika seorang lelaki itu tidak mempunyai kemampuan untuk menunaikan tanggungjawab sebagai seorang suami, bukankah lebih baik jika sebuah perkahwinan itu tidak dilangsungkan.

Walau apa pun hikmah di sebalik nikah misyar itu, ia pasti tidak perlu dijadikan alasan untuk ‘menghalalkan’ perhubungan suami isteri yang hakikatnya tidak wujud.Alasan ramai wanita tidak berkahwin untuk membenarkan lelaki mengamalkan nikah misyar juga perlu dibuktikan kebenarannya menerusi statistik bukan sekadar cakap-cakap kosong.Statistik penghuni pusat serenti yang kini dipenuhi oleh lelaki dan jumlah kaum wanita di institusi pengajian tinggi perlu menjadi sandaran jika benar nikah misyar benar-benar diperlukan.

Apatah lagi apabila nikah misyar dikatakan menjadi amalan di kalangan lelaki Kuwait dan Arab yang kaya untuk melepaskan hawa nafsu mereka ketika bercuti. Nikah misyar membenarkan mereka mengadakan hubungan seks dengan wanita lain kononnya untuk mengelak daripada melakukan zina.
Mereka dikatakan pergi ke negara-negara miskin dan bertemu dengan orang tengah untuk merancang pernikahan misyar.
Kepada lelaki dan wanita Malaysia, fikirlah sejauh mana perlunya nikah misyar dibenarkan.
* NIK SALIDA SUHAILA NIK SALLEH ialah pensyarah di Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIM).

bab tujuh: kahwin misyar

(sumber: www.ArabLawInfo.com)
Definisi Kahwin Misyar:

Perkataan misyar berasal daripada perkataan arab sara, sira, sirah, tasayara, masar dan juga masirah. Ia bermaksud, berjalan dan perjalanan. Ia juga boleh diertikan sebagai pemergian.Perkataan misyar sebenarnya ialah satu perkataan daripada bahasa dialek atau loghat (bahasa ammiyah) atau boleh juga disebut sebagai bahasa pasar yang digunakan di beberapa negara Teluk. Ia difahami sebagai: perjalanan dan tidak tinggal lama di sesuatu tempat (lihat: Yusuf al-Qaradawi, Hawl Zawaj al-Misyar, Majallah al-Mujtama’ al-Kuwaitiyyah, bil 1301, 26/5/1977, hlm. 31, Majallah al-Syariah, bil. 392, bertarikh: 8/8/1998.

Definisi Misyar Dari Sudut Terminologi/Istilah:
Perkahwinan misyar ialah perkahwinan di mana pengantin lelaki tinggal di rumah pengantin perempuan tetapi pengantin perempuan tidak pula berpindah ke rumah pengantin lelaki. Ia selalunya berlaku ke atas isteri kedua kerana si lelaki mempunyai isteri lain (isteri pertama) yang tinggal di rumah si lelaki dan menerima nafkah daripada lelaki tersebut. (lihat: al-Qaradawi, Hawl Zawaj al-Misyar)
Ia juga disebut sebagai pergi kepada si isteri tetapi tidak tinggal lama (ibid.)
Terdapat juga pandangan bahawa perkahwinan misyar ialah perkahwinan yang dibina dengan akad yang sah antara kedua-dua lelaki dan perempuan dengan adanya persepakatan tentang hubungan kelamin tanpa hidup sebumbung untuk tempoh yang berpanjangan.(Akhbar al-Dustur, 10/10/1998, tanpa nama penulis artikel)

Menurut Ahmad al-Tamimi, misyar ialah perkahwinan seorang lelaki dengan seorang perempuan dengan akad yang sah menurut syarak dan memenuhi rukun-rukunnya, tetapi pasangannya bertolak ansur dari segi tempat tinggal dan nafkah. (lihat: Usamah Umar al-Ashqar, Mustajiddat Fiqhiyyah fi Qadhaya al-Zawaj dan al-Talaq, hlm. 163)
Menurut Ibn Mani’, ianya ialah perkahwinan yang memenuhi semua syarat dan rukunnya, tetapi kedua-dua pasangan redha-meredhai dan bersetuju bahawa si isteri tidak mempunyai hak berkelamin (iaitu hak pembahagian giliran bermalam). Sebaliknya, ia bergantung kepada si suami, jika dia mahu menziarahi isterinya pada bila-bila masa atau waktu. (ibid.)


Sebagai kesimpulan:
Perkahwinan misyar dibina berasaskan tolak ansur antara kedua-dua suami isteri mengenai tempat tinggal, nafkah, pembahagian giliran bermalam antara isteri-isteri dan sebagainya. Walau bagaimanapun, dalam perkahwinan ini, si isteri tetap memerlukan seorang suami untuk menyayanginya, melindunginya, memberikan perhatian dan kasih sayang dan dia tidak memerlukan harta dan rumah kerana telahpun memilikinya.
Oleh itu, perkahwinan misyar ialah: Akad perkahwinan antara lelaki dan perempuan yang dihalalkan oleh syarak untuk berkahwinan dengan wujudnya tolak ansur si isteri daripada beberapa hak tertentu.

bab lapan: kahwin misyar

JUMAAT, 23 Jun 2006 – Bahagian Pengurusan Dakwah Jabatan Agama Islam Selangor telah menganjurkan satu ceramah khas bulanan pagi Jumaat ini yang bertajuk 'Kahwin Misyar' yang disampaikan oleh Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi bin Abdul Majid bertempat di Dewan Kuliah Pusat Pembangunan Kekeluargaan Islam, Aras Bawah, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam. Ceramah bermula pada jam 8.00 pagi dan dipengerusikan oleh Yang Berbahagia Ustaz Mohd Safuan bin Nayan. Ceramah kali ini mendapat sambutan yang agak menggalakkan daripada warga kerja Bangunan Sultan Idris Shah.

Isu kahwin misyar yang dicadangkan diperkenalkan di Malaysia telah menimbulkan banyak kontroversi di kalangan umat Islam berikutan perdebatan hebat di kalangan ulamak yang bersetuju dan juga sebaliknya. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil turut membantah cadangan ini dan berpendapat perkahwinan ini tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana ia bukanlah penyelesaian terbaik bagi menangani masalah ramai wanita tidak berkahwin. Tambahan pula perkahwinan ini mensyaratkan wanita perlu membuat pengakuan bertulis tentang kesediaan wanita untuk tidak dijanjikan nafkah zahir atau melakukan giliran(bagi kes poligami) dan bersedia menanggung risiko bagi mengelak masalah berbangkit pada masa hadapan. Maksud Misyar dibaca mis-yaar berasal daripada kata sayr yang bererti berjalan atau mengembara dan mempunyai erti banyak atau selalu berjalan, mengembara dan akhirnya kita boleh sebut sebagai pengembara.

Perkahwinan misyar membawa maksud perkahwinan yang tidak terikat dengan syarat, keperluan dan hak-hak dalam perkahwinan di mana suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian dan cukup sekadar memenuhi nafkah batin terhadap isteri. Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab. Amalan sebegini dibenarkan dan pernah terjadi berdasarkan situasi mashalahat di mana terdapat ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin. Isu nikah misyar menjadi topik perbualan hangat di negara kita apabila banyak pihak mendesak pihak Majlis Fatwa mengeluarkan fatwa sama ada ianya boleh dilaksanakan atau tidak di sini.

Kesudian dan kehadiran Prof. Datuk Dr. Mahmud Zuhdi ke Jabatan Agama Islam Selangor menjelaskan lagi maksud kahwin misyar yang dicadangkan beliau kepada pegawai dan kakitangan jabatan khususnya. Beliau menjelaskan bahawa "Kahwin Misyar" yang beliau maksudkan adalah " perkahwinan di antara perempuan yang kaya, berada, berkerjaya tinggi dan belum berkahwin dengan lelaki bujang yang berperibadi dan berakhlak mulia, baik tetapi tidak kaya dan berharta. Syarat-syarat perkahwinan tetap sama iaitu ada wali, saksi, mas kahwin dan akad yang sama sepertimana perkahwinan lain. Mereka berkahwin suka sama suka tetapi lelaki itu tidak menjanjikan sara hidup yang banyak untuk wanita tersebut. Namun begitu, suami itu boleh memberi nafkah mengikut kemampuannya, terpulang kepada wanita itu untuk menggunakannya atau cukup sekadar dengan wang perbelanjaannya sendiri. Jika wanita itu berniaga, maka lelaki itu sama-sama mengusahakan perniagaan bersama isterinya. ".

Beliau tidak ingin menyebut isu ini lagi kerana menurut beliau masyarakat negara ini amat beremosi dan mudah melenting apabila isu-isu sebegini disentuh. Menurut beliau, perkahwinan sebegini sebenarnya telah pun wujud di negara kita. Ia bukanlah sepertimana perkahwinan misyar yang diamalkan oleh masyarakat di negara Arab. Beliau sengaja mengemukakan cadangan ini kerana ingin mengajak semua pihak termasuk ulama', pemimpin dan masyarakat berfikir tentang isu ini. Masyarakat beranggapan, lelaki bertaraf rendah yang berkahwin dengan wanita bertaraf tinggi itu dengan istilah 'makan duit bini' dan pelbagai lagi persepsi negatif. Persepsi sebeginilah yang mengakibatkan lelaki-lelaki bertaraf rendah atau sederhana takut dan tidak berani untuk meminang seterusnya mengahwini wanita profesional berstatus dan berkerjaya tinggi.

Menurut beliau, jika keadaan ini berterusan maka lebih ramailah wanita golongan profesional tidak berkahwin. Jika masyarakat dapat mengubah persepsi dan penerimaan mereka, isu ini bukanlah perkara baru dan tidak akan menjadi kontroversi.Beliau menekankan tentang bilangan wanita profesional yang tidak berkahwin adalah tinggi. Perubahan sosial masyarakat Malaysia kini lebih terbuka. Wanita telah diberi peluang untuk menceburi pelbagai bidang setinggi mungkin dan ramai di kalangan wanita berjaya menjadi usahawan, menteri, ketua jabatan dan sebagainya. Taraf profesional golongan wanita juga setanding dan mungkin lebih dari lelaki. Inilah yang membimbangkan kerana ramai dari golongan ini yang tidak mahu atau belum berkahwin. Mereka berjaya dari satu sudut dan gagal dalam satu sudut yang lain iaitu memiliki suami dan keluarga seperti wanita lain.

Beliau memikirkan cadangan ini jika diterima di negara ini dapat mengatasi serba sedikit masalah ini di samping memberi jalan keluar kepada ibu-ibu tunggal yang mengalami masalah yang sama. Jika dilihat dari aspek nisbah pembangunan genetik, berapa banyak negara telah membazirkan genetik-genetik ibu-ibu yang cerdik, mempunyai IQ yang tinggi dengan membiarkan golongan-golongan wanita profesional ini tidak berkahwin hingga ke akhir hayat mereka. Jika difikirkan, wanita-wanita yang berjaya ini mampu melahirkan generasi akan datang yang cerdik pandai. Tetapi jika mereka dibiarkan tidak berkahwin, maka siapakah pewaris generasi kita akan datang yang tinggal. Sama-samalah kita fikir dan renungkan. Wallahualam

Tiada ulasan:

Catat Ulasan