CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Assalamualaikum

untuk pengetahuan anda
segala posting yang di terbitkan di dalam blog ini
adalah sumber/artikel/cerita dari mailbox saya yang telah
dikongsi oleh rakan rakan group

jadi..janganlah anda menuduh saya mengambil,mengedit dan selain nya dari mana mana fakta
kerana niat saya hanya untuk berkongsi sumber/artikel/cerita
yang telah saya baca

harap maklum

ikhlas
sweetmiko

Jumaat, 6 April 2012

bab sembilan: kahwin misyar

bab sembilan: kahwin misyar

ISU perkahwinan misyar yang dicadang diperkenalkan di negara ini menimbulkan polemik hebat berikutan perdebatan di kalangan ulama yang bersetuju dan sebaliknya.

Pengarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Datuk Dr Mahmud Zuhdi Abdul Majid menganggap misyar kaedah terbaik mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin selain mengurangkan maksiat. Mahmud Zuhdi mencadangkan lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar kerana kebelakangan ini ramai wanita yang mementingkan kerjaya tidak berkahwin sehingga sanggup menjadi andartu. Perkahwinan misyar yang bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi memadai hanya dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyokong kenyataan itu kerana berpendapat perkahwinan misyar juga dibenarkan dan tidak bercanggah dengan hukum Islam, asalkan seseorang wanita itu bersetuju. Bagaimanapun, beliau menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin misyar membuat perjanjian bertulis mengenai kesediaan wanita yang ingin dikahwini itu bagi mengelak masalah berbangkit pada masa depan. “Wanita perlu membuat pengakuan bertulis bahawa dia sanggup tidak diberi nafkah zahir atau melakukan giliran kerana bersedia menanggung risiko. “Soal menghina wanita tidak berbangkit sama sekali kerana wanita sudah bersetuju berkahwin dengan cara itu, tambahan pula ia tidak salah dari segi hukum. “Itu hak wanita, jika dia kaya bukan setakat duit malah rumah pun dia boleh beri kepada suami yang hendak dikahwininya,” katanya. Menteri Pembangunan Wanita,

Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil pula berpendapat perkahwinan misyar tidak sesuai dilaksanakan di negara ini kerana ia bukan penyelesaian terbaik bagi menangani masalah ramai wanita tidak berkahwin, tambahan keadaannya belum kritikal. Sebaliknya, beliau berkata, konsep perkahwinan mengikut ajaran Islam yang meletakkan tanggungjawab menanggung isteri dan keluarga dipikul suami. Kenyataan itu turut mendapat sokongan Pegawai Agama Istana Negara, Datuk Abu Hassan Din al-Hafiz kerana mengikut Islam, suami sebenarnya diwajibkan mencari nafkah untuk menanggung isteri dan keluarganya. Menurutnya, jika lelaki itu tidak berkemampuan untuk berpoligami, lebih baik dia hanya mempunyai seorang isteri Katanya, perkara mengenai tanggungjawab suami mencari nafkah untuk isteri ada terkandung dalam ayat 34 surah An-Nisa yang bermaksud: “Lelaki (suami) adalah ketua yang bertanggungjawab ke atas wanita (isteri), sebab itu Allah melebihkan kaum lelaki itu dengan beberapa kelebihan dan mewajibkan lelaki (suami) membelanjakan sebahagian hartanya untuk rumah tangga mereka.” Berdasarkan ayat itu, katanya Islam memang melarang isteri membelanjakan hartanya untuk rumah tangga, bahkan jika terpaksa, ia dianggap hutang yang perlu dibayar suami.

Abu Hassan berkata, Islam juga tidak membenarkan isteri bekerja dan sebaiknya duduk di rumah menguruskan rumah tangga dan menjaga anak-anak. Tokoh agama juga berpendapat perkahwinan misyar yang sekadar bertujuan menghalalkan hubungan seksual tidak sesuai diamalkan di negara ini kerana dianggap menghina wanita dan boleh disamakan seperti ‘pelacuran berbentuk halal’ yang hanya mempergunakan kesucian akad nikah. Malah, ia dikatakan amalan perkahwinan terburuk pernah diluluskan dalam sejarah perundangan Islam selepas perkahwinan mutaah yang menimbulkan kontroversi. Amalan itu tidak sesuai sama sekali di negara ini, terutama kebelakangan ini wanita terpaksa berdepan pelbagai dilema suami yang mengabaikan tanggungjawab dan meninggalkan anak isteri sesuka hati tanpa membayar nafkah selepas berlaku perceraian. Mereka juga menolak dan tidak bersetuju sama sekali perkahwinan misyar diamalkan di negara ini kerana konsepnya hanya menguntungkan lelaki.

Mufti Perak, Datuk Seri Harussani Zakaria pula menganggap perkahwinan misyar sebagai mengarut kerana kesucian ikatan perkahwinan tidak seharusnya dipermain-mainkan kerana ia adalah satu perjanjian yang dibuat antara wali dan si lelaki untuk mengambil seseorang wanita sebagai isteri. “Perkahwinan misyar tidak boleh dihalalkan kerana sepanjang pengetahuan saya, belum pernah berjumpa dengan amalan perkahwinan seumpama ini tambahan ia lebih teruk daripada mutaah. “Malah, dalam al-Quran sendiri tiada disebutkan amalan misyar. Mutaah diharamkan oleh kerajaan kerana ia menganiaya wanita. Jadi perkahwinan misyar tidak harus dibolehkan apatah lagi matlamatnya hanya untuk menghalalkan persetubuhan,” katanya. Dalam hubungan ini, sungguhpun ada wanita yang merelakan perkahwinan berkenaan, soalnya di mana maruah wanita apabila dinikahi lelaki semata-mata untuk melepaskan nafsunya.

Tidak dapat dibayangkan betapa perkahwinan seumpama itu boleh mengkucar-kacirkan institusi keluarga yang semakin menuju kehancuran. Jika dibenarkan, mudahlah wanita dikahwini dan ditinggalkan begitu saja apabila perkahwinan itu sendiri mengizinkan lelaki untuk meninggalkan isteri berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang nafkah. Beliau berkata, sememangnya amat wajar apabila aktivis hak asasi wanita di rantau Arab membantah keras keputusan Perhimpunan Perundangan Islam yang berpusat di Makkah meluluskan ketetapan untuk membenarkan lelaki Islam sunnah mengamalkan perkahwinan misyar. sumber : hmetro.com.my

bab sepuluh: Mengamati Polemik Nikah Misyar

Perkahwinan adalah hubungan kasih kemanusiaan yang paling suci dijaga oleh Islam. Malah, Islam sangat menjaga matlamat perkahwinan supaya dapat mewujudkan satu perjanjian yang suci murni untuk menjalankan hak-hak rumahtangga dan kekeluargaan yang diberkati. Rasulullah salallahualaihi wasalam telah bersabda; “..Perkahwinan itu adalah sunnahku, barangsiapa yang berpaling daripada sunnahku maka bukanlah mereka daripada golonganku..”.
Perkahwinan yang memenuhi tujuan yang baik dan mulia serta syarat-syarat perkahwinan adalah sah di sisi syara’. Ini kerana, rukun-rukun nikah dan syarat-syaratnya sahaja yang dapat membezakan antara akad nikah yang menepati syara' dan akad nikah yang diharamkan Islam.

Dalam satu bab perbahasan feqh terhadap masalah munakahat (perkahwinan), terdapat satu topik yang membincangkan isu nikah misyar. Topik ini telah menjadi perbualan hangat di negara kita apabila banyak pihak mendesak Majlis Fatwa Malaysia agar mengeluarkan fatwa sama ada ianya boleh dilaksanakan atau tidak. Seperti kebiasaan yang berlaku mentaliti rakyat Malaysia apabila suatu isu bersabit dengan hukum-hakam, sudah tentu isu seperti ini akan mengundang perbahasan yang hangat kerana apa sahaja yang berkait dengan hukum Islam ianya bersifat sensitive. Ini kerana, hukum-hakam Islam tidak wajar ditentukan oleh pandangan-pandangan emosional kumpulan-kumpulan yang berkepentingan dalam masyarakat. Walhal ia perlu dibina atas dalil-dalil yang sah, dan kefahaman dan tafsiran yang benar terhadap dalil-dalil berkenaan.

Pandangan yang adil terhadap perkara ini hanya dapat diperolehi apabila kita mengetepikan emosi, dan cuba menganalisa alasan-alasan yang diberikan berdasarkan al Quran dan Sunnah serta pertimbangan maqasid syar'iah secara objektif. Sebenarnya masalah nikah misyar telah lama hangat diperkatakan oleh masyarakat dunia sebelum ini dan isu ini mula mendapat perhatian di Malaysia apabila Dr. Mahmud Zuhdi Abdul Majid mencadangkan supaya kaum lelaki dibenarkan mengamalkan perkahwinan misyar bagi mengatasi masalah ramai wanita bujang dan andartu. Pelbagai pandangan samada pro atau kontra dikaitkan dengan isu ini. Justeru itu, penulis ingin mengajak para pembaca untuk meneliti pandangan ulama Islam berhubung dengan masalah ini. Sebelum itu, penulis ingin membetulkan sebutan istilah ini kerana media cetak bertulisan rumi telah mengejanya ‘misyar’ maka ada yang menyebut mi+syar. Sebenarnya kita perlu menyebut mis+yar sebagai kalimah Arab yang tepat dibincangkan saat ini dan bukan mi+syar. Hukum nikah misyar iaitu perkahwinan bersyarat yang menggugurkan tanggungjawab suami berkaitan nafkah atau tempat tinggal atau keduanya, boleh dikatakan sebagai fonomena baru dalam feqh disebabkan faktor-faktor semasa. Ada yang menghalalkannya, ada juga yang mengharamkannya, tidak lupa juga ada yang bersikap untuk tidak membuat keputusan yang jelas.

Perkahwinan misyar memberikan maksud bahawa suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit, pakaian yang cukup dan hanya sekadar memenuhi nafkah batin terhadap isteri. Perkahwinan seumpama ini banyak berlaku di kalangan wanita yang berkedudukan tinggi dan berpendapatan lumayan di negara-negara Arab. Amalan sebegini dibenarkan dan pernah berlaku berdasarkan situasi maslahah di mana terdapat ramai janda dan gadis yang tidak berkahwin sedangkan mereka mempunyai pekerjaan yang kukuh untuk menyara hidup sendiri. Untuk mendapatkan keputusan yang jelas hasil daripada kalangan para ulama’ yang berusaha mengeluarkan keputusan syara’ secara bertanggungjawab samada perkahwinan ini boleh diterima secara sah atau tidak, maka perlulah ia memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh syara'. Antara syarat-syarat yang dikeluarkan oleh Dar al Ifta' al Misriyyah (Majlis Fatwa Mesir) untuk memastikan bahawa perkahwinan misyar itu sah ialah:-Pertama:

Wujudnya kerelaan yang tulus daripada kedua-dua pihak suami dan isteri. Jika tidak, ia merupakan kezaliman yang akan menyebabkan kemudharatan dihadapi oleh kehidupan isteri dan anak-anaknya.Kedua: Lafaz tujuan perkahwinan tersebut mengandungi maksud perkahwinan yang berterusan dan menunjukkan bahawa ia tidak dibataskan oleh waktu-waktu tertentu.Ketiga: Adanya wali yang dipertanggungjawabkan untuk pihak pengantin isteri.Keempat: Perkahwinan itu disaksikan oleh saksi yang melengkapi syarat-syarat persaksian dan memenuhi kriteria sebagai saksi yang adil.Kelima: Perkahwinan itu diisytiharkan kepada umum dengan cara yang pelbagai.
Jika lengkap syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh syara' ini maka perkahwinan misyar dan apa jua istilah nama perkahwinan yang disandarkan kepadanya, maka ia adalah perkahwinan yang sah selagi mana perkahwinan ini tidak diterhadkan kepada tempoh tertentu. Namun, apabila pihak isteri rela untuk menggugurkan hak-hak yang berhak untuk diperolehi oleh si isteri tersebut yang telah diberikan oleh syara' seperti nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk suami bermalam di rumah isteri yang bermadu, maka pengguguran hak tersebut adalah harus di sisi syara' sepertimana yang dilakukan oleh Sayyidatina Sa'udah radhiallahu anha. Beliau telah menghadiahkan hari yang sepatutnya Rasulullah salallahualaihi wasalam bermalam di rumah beliau kepada Sayyidah Aisyah radhiallahu anha.

Keharusan nikah ini atas sebab-sebab berikut:

1. Sesungguhnya Allah Taala telah menjadikan risalah Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam ini sebagai penutup segala risalah dan Allah telah menurunkan al Quran sebagai penunjuk kepada kesejahteraan seluruh umat sehingga waktu di mana Allah akan mewarisi bumi ini dan insan yang berada di dalamnya (hari kiamat). Oleh itu, tidak ada satupun perkara yang berlaku dalam kehidupan manusia melainkan manusia akan mendapati penyelesaianya di dalam kitab kepada risalah Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam (al Quran).

2. Di sana hanya ada satu jalan sahaja tanpa ada jalan yang kedua yang membenarkan kepuasan seks dapat disalurkan. Jalan ini ialah perkahwinan yang menepati syara'. Oleh itu, selain daripada perkahwinan yang sah di sisi syara', maka ia adalah dilarang oleh syariat-syariat Allah dalam semua agama malahan syariat-syariat Allah Taala menganggap jalan selain perkahwinan adalah jalan-jalan yang mungkar. Firman Allah Taala : “..Dan mereka yang menjaga kehormatannya. kecuali kepada isterinya atau hamba sahayanya maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Kemudian, sesiapa yang mengingini selain dari yang demikian, maka merekalah orang-orang yang melampaui batas..”(Al Mukminun 5-7)

3. Seseorang isteri itu mempunyai hak di sisi syariat untuk menggugurkan hak-hak mereka yang sepatutnya mereka perolehi seperti memohon nafkah, tempat tinggal dan pembahagian malam untuk bersama dengan suami bagi isteri yang bermadu.
Oleh itu, setiap syarat yang dibuat tanpa menafikan tujuan asas dan maksud utama bagi perkahwinan tidaklah sama sekali dapat mencacatkan akad nikah atau membatalkannya. Dar al Ifta' (Majlis Fatwa Mesir) tidak bermaksud melalui fatwa ini untuk memaksa masyarakat memilih jalan perkahwinan sebegini. Mereka hanya bertanggungjawab untuk menerangkan hukum-hukum syara' yang benar dan sahih bersumberkan al Quran dan as Sunnah serta pendapat para ulama’ muktabar daripada mazhab terdahulu.

Pandangan Feqh Mengenai Perletakkan Syarat Dalam Akad Nikah:• Secara umumnya semua mazhab berpandangan sekiranya syarat yang diletakkan adalah bertepatan dengan objektif serta maksud perkahwinan maka ianya dibolehkan.• Sekiranya syarat tersebut bertentangan dengan objektif serta maksud perkahwinan maka ianya terbatal dan syarat tidak terpakai.
Pengesyoran beberapa ilmuan Islam supaya nikah misyar ini dipraktikkan di Malaysia timbul kerana ramai wanita yang bekerja dan mempunyai harta, malangnya masih tidak berkahwin. Sedangkan kehendak diri untuk memiliki suami amat mendesak bahkan ada yang mencari jalan maksiat untuk memenuhi fitrah tersebut. Apapun reaksi masyarakat terhadap isu nikah misyar ini sebenarnya sangat bergantung kepada niat pihak lelaki dan wanita yang terlibat. Sekiranya ia dilakukan demi tuntutan mencari kerukunan yang soleh. Namun jika matlamat itu sekadar mahu memenuhi kuota perkahwinan bagi wanita janda dan andartu, ia tidaklah haram tetapi ia bukanlah idea yang bijak untuk menangani jenayah sosial di Malaysia.

Nabi Muhammad salallahualaihi wasalam sendiri, walaupun dipinang oleh janda kaya Siti Khadijah tetapi tidak bermakna Nabi Muhammad mengamalkan nikah misyar. Nabi masih menjadi seorang lelaki yang bertanggungjawab, mencukupkan dan mencari nafkah untuk isterinya. Bagaimanapun, isu perkahwinan miyar bukanlah merupakan isu yang besar sebagaimana yang digembar-gemburkan. Masih banyak perkara lain boleh difikirkan lebih utama berbanding isu perkahwinan seperti ini. Perkara khilafiyyah seperti ini sebenarnya sengaja dijadikan bahan sensasi oleh media-media tempatan kepada masyarakat awam sehingga mereka menjadi keliru tentang perkara apakah yang perlu dahulu diutamakan.

bab sebelas: nikah misyar dibenar agama

Oleh Nasir Hassan

KOTA BHARU: Perkahwinan misyar dibenarkan agama dan tidak bercanggah dengan hukum Islam, kata Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.Malah, Mursyidul Am Pas itu berkata, ia terletak pada persetujuan seseorang wanita yang hendak dikahwinkan mengikut cara berkenaan.“Yang penting, Islam tidak menghalang umatnya berkahwin mengikut kaedah misyar. Jika perempuan yang dikahwinkan itu bersetuju suaminya tidak perlu memberi nafkah zahir kerana cukup dengan apa yang ada padanya, maka tiada masalah nak kahwin cara misyar itu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, di sini, semalam.

Nik Abdul Aziz diminta mengulas kenyataan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Shahrizat Abdul Jalil bahawa perkahwinan misyar tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.Bagaimanapun, Nik Abdul Aziz menasihatkan pasangan yang ingin berkahwin misyar supaya membuat perjanjian bertulis mengenai kesediaan wanita yang ingin dikahwini bagi mengelak timbul kesan pada masa depan.“Wanita perlu membuat pengakuan bertulis bahawa dia sanggup tidak diberi nafkah zahir atau melakukan giliran kerana bersedia menanggung risiko cukup apa yang ada padanya,” katanya.

Pokok pangkalnya, katanya, ia terletak pada kesediaan seseorang perempuan yang hendak dikahwinkan itu sendiri.Ditanya perkahwinan cara demikian memberi gambaran menghina wanita kerana cara itu dilihat sebagai lebih mementingkan kepuasan seks semata-mata, Nik Abdul berkata: “Perkara itu tidak berbangkit kerana wanita itu sendiri yang bersetuju berkahwin cara begitu. Ia tidak salah dari segi hukum.“Hina macam mana kalau perempuan sendiri izin. Itu hak perempuan. Kalau perempuan itu nak bagi duit, nak bagi rumah (kepada suaminya) kerana dia kaya... tak jadi masalah. Itu hak dia,” katanya.Sumber: Berita Harian Online

bab duabelas: kahwin misyar

Perkahwinan misyar upaya bendung maksiat?

Saidatul Amani
Fri May 26, 06 3:35:34 pm MYT
Sebut sahaja perkataan poligami kebanyakan wanita akan `panas telinga'. Sukar bagi kebanyakan wanita terutama yang bergelar isteri untuk menyebut perkataan tersebut dengan hati yang ikhlas dan reda. -->-->

Tetapi jika ia dikaitkan dengan hukum yang jelas dalam al-Quran, kelantangan bantahan sebilangan besar wanita ini akan terhenti. Pendek kata masalah poligami itu tidak akan selesai selagi ada golongan lelaki dan wanita di dunia ini.Kini timbul pula isu baru tentang perkahwinan misyar. Pada mulanya, penulis juga terkejut dengan maksud perkahwinan tersebut kerana baru pertama kali mengetahui akan maksudnya.

Perkahwinan misyar bermaksud, suami tidak perlu memikul tanggungjawab memberi nafkah zahir seperti wang ringgit dan pakaian, tetapi cukup dengan memenuhi nafkah batin terhadap isteri.Ah! bertuah suami yang menikmati perkahwinan misyar. Penulis tidak berhajat membantah cadangan tersebut tetapi pihak berkenaan perlu memperhalusi cadangan itu. Apakah perkahwinan misyar itu realisitik dengan fenomena wanita di Malaysia?
Sehari selepas laporan itu, Dewan Muslimat PAS menolak cadangan supaya perkahwinan misyar dibenarkan kerana ia tidak bersesuaian dengan masyarakat negara ini.

Ketuanya, Azizah Khatib Mat berkata, masalah wanita tidak berkahwin di negara ini masih terkawal dan tidak perlu diatasi melalui cara tersebut.
"Cara itu tidak sesuai dipratikkan di negara ini dan kita tidak perlu mengikutinya walaupun ia sudah lama dipraktikkan di negara-negara Arab," katanya.
Masalahnya, mengapa perlu kepada perkahwinan misyar? Apakah rata-rata wanita yang berstatus janda dan andartu amat menyusahkan negara atau bersikap keterlaluan sehingga menggadaikan maruah agama dan diri?Penulis tidak menyanggah cadangan daripada Pensyarah Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Prof Dato' Dr Mahmud Zuhdi Abdul Majid yang mendakwa perkahwinan misyar dapat mengatasi masalah ramai wanita tidak berkahwin.Selain itu, ia juga dianggap mampu mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat.

Ada benarnya alasan tersebut. Tetapi apakah jaminan perkahwinan misyar itu boleh menyelamatkan iman dan ketaatan para isteri terhadap suaminya?
Suami tidak perlu memberi nafkah zahir tetapi cukup memenuhi nafkah batin terhadap isteri.Ok, mungkin para isteri masih boleh tersenyum dengan keistimewaan suami hasil daripada perkahwinan misyar.Tetapi, siapa pula yang perlu bertanggungjawab menunaikan nafkah zahir terhadap anak-anak? Apakah ini juga menjadi tanggungjawab isteri? Perbelanjaan lampin, susu, pakaian, persekolahan, makan, perbelanjaan harian dan sebagainya.
Penulis yakin, sejauh mana kasih sayang dan ketaatan isteri terhadap suaminya, jika semua masalah dibebankan ke atas kepala isteri, sudah pasti kesabaran dan ketaatan seorang isteri akan tercabar.Bibit-bibit kasih sayang akan mula tercalar apabila hati sudah mula berkata-kata - daripada aku menanggung semua ini lebih baik aku tak payah kahwin!

Mulalah episod bermasam muka dengan suami, mengata sikap suami, tak puas hati, dendam dan sebagainya. Walhal masa nak kahwin dulu, `I Love U, I sanggup buat apa sahaja asalkan I dapat U'. Tapi apabila setiap hari terpaksa keluar duit menanggung diri sendiri dan anak-anak, hilang Love U yang tinggal menyampah I tengok muka U'.
Lama kelamaan berlaku perceraian. Anak-anak yang masih kecil yang masih tidak tahu erti penderitaan dan kesengsaraan, tetap menagih kasih sayang daripada ibu bapa mereka.Jika mereka tidak mendapat belaian dan kasih sayang daripada ibu bapa, sudah tentu mereka akan mencari kasih sayang itu di luar. Maka terjebaklah mereka dalam kancah gejala sosial.Jika begini jadinya, apakah perkahwinan misyar benar-benar dapat mengurangkan perlakuan maksiat?
Sistem negara
Penulis beranggapan masalah wanita yang ramai tidak berkahwin mungkin berpunca daripada diri sendiri berikutan sistem negara yang tidak berlandaskan al-Quran dan Sunnah.
Dengan pangkat tinggi, gaji besar, kuasa, harta banyak siapa berani dekat wanita seperti ini. Tentu lelaki yang mahu menjadikan mereka isteri, mempunyai harta kalau tak sebukit mesti sebusut.
Wanita itu sendiri mungkin memandang rendah kepada golongan lelaki yang setakat gaji RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, apatah lagi yang hanya bergaji tiga angka saja. Ini mungkin antara punca mengapa wanita ramai yang masih tidak berkahwin.
Sekilas pandang di mana-mana jabatan kerajaan, swasta dan korporat peratus wanita yang bekerja mengatasi golongan lelaki.
Ini juga menimbulkan masalah terhadap lelaki. Daripada jawatan buruh hingga setinggi-tinggi jawatan, pengurus, pengarah urusan, setiausaha sulit, canselor semuanya telah diteroki oleh wanita.

Begitu juga dengan jawatan yang mencabar seperti juruterbang, kapten, inspektor, komander, pengawai bomba, pemandu bas wanita sudah menceburinya. Di sinilah kerusi untuk diisi oleh lelaki sudah hilang peratusnya. Siapa yang harus dipersalahkan?
Wanita, lelaki atau sistem negara? Jika sistem negara kita berpandukan al-Quran dan sunnah sudah tentu perkara seperti ini tidak akan berlaku. Alangkah cantiknya, jika tugas wanita hanya dikhususkan kepada jiwa dan sentimen wanita sahaja seperti jururawat, guru, kerani, pakar sakit puan.
Kerjaya yang mencabar difokuskan kepada lelaki. Rasanya jika perkara ini dilaksanakan tidak ramai lelaki atau suami yang menganggur. Masalahnya, dalam sesi temu duga golongan wanita lebih diminati untuk diambil bekerja. Kalau alasan wanita lebih rajin bekerja, tak kurang juga lelaki yang hebat apabila menjalankan tugas.

Penulis yakin lelaki tidak ramai yang menganggur jika peluang kerja itu diberikan seluas-luaskan kepada mereka. Begitu juga janda atau andartu tidak akan terjerumus dalam kancah maksiat jika negara melaksanakan sistem berpandukan al-Quran dan sunnah.
Penulis juga yakin perkahwinan misyar itu tidak wujud jika sistem negara dilaksanakan mengikut lunas-lunas Islam sebagaimana yang ditetapkan dalam al-Quran dan sunnah.Apa kata kalau pencadang melaksanakan dahulu perkahwinan misyar, buktikan bahawa cadangan ini akan mengurangkan perlakuan maksiat dalam masyarakat. Belum cuba belum tahu!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan