Topik : Alam Rumah Tangga
Soalan
Tersinggung sikap mentua
SAYA berasa cukup tersinggung apabila ibu mentua mengatakan dia membenci saya. Malah pernah menghina serta menyuruh saya saya menceraikan anaknya.
Sebab itu, saya berjanji tidak akan pulang lagi ke rumah mentua kerana benar-benar terasa diri dihina atas perbuatannya itu. Berdosakah jika saya membenci sikapnya itu?
Jawapan
ISLAM amat menitik beratkan hubungan silaturahim. Sikap saling membenci dan memutuskan hubungan sesama saudara dilarang sekali dalam Islam.
Sekiranya berlaku perselisihan, mereka hendaklah didamaikan dan tali persaudaraan perlu disambung semula. Allah berfirman yang bermaksud: “Sebenarnya orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikan di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat”. (Surah al-Hujurat ayat 10).
Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan”. (Hadis riwayat Muslim)
Menghubungkan silaturahim banyak manfaatnya antaranya Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang ingin dilapangkan rezekinya dan dipanjangkan usianya, hendaklah dia memelihara hubungan silaturahim”. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
Justeru, jangan simpan perasaan benci dan dendam terhadap ibu mentua anda itu. Maafkan perbuatan serta keterlanjuran kata-katanya itu kerana sebagai menantu, kita perlu menghulurkan tangan kemaafan kepada mentua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan