CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Assalamualaikum

untuk pengetahuan anda
segala posting yang di terbitkan di dalam blog ini
adalah sumber/artikel/cerita dari mailbox saya yang telah
dikongsi oleh rakan rakan group

jadi..janganlah anda menuduh saya mengambil,mengedit dan selain nya dari mana mana fakta
kerana niat saya hanya untuk berkongsi sumber/artikel/cerita
yang telah saya baca

harap maklum

ikhlas
sweetmiko

Rabu, 17 November 2010

HUKUM MEMBAWA ALAT-ALAT YANG MENGANDUNGI PERISIAN AL-QUR'AN KE TANDAS

HUKUM MEMBAWA ALAT-ALAT YANG MENGANDUNGI PERISIAN AL-QUR'AN KE TANDAS

Bismillah, Walhamdulillah Wassalatu Wassalamu `Ala Rasulillah, Wa'ala Aalihie Wasahbihie Waman Walaah
(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)
Dalam era kemajuan sains dan teknologi ini, manusia melalui keajaiban akal dan ilham yang dikurniakan oleh Allah Subhanahu
wa Ta‘ala telah berjaya mencipta alat-alat yang serba canggih. Al-Qur'an yang dahulunya hanya dapat dibaca melalui kertas ataupun mushaf kini sudah dapat dimuat turun ke dalam alat-alat seperti telefon bimbit ataupun PDA (Personal Digital Assistant).
Oleh kerana alat-alat seperti telefon bimbit ataupun PDA (Personal Digital Assistant) ini sangat penting penggunaannya
dalam kehidupan masa kini, maka sudah semacam kemestian ianya sentiasa dibawa bersama ke mana-mana sahaja termasuklah ke tandas.
Sebagaimana yang dimaklumi, ayat-ayat al-Qur’an adalah kalamullah yang wajib dihormati, dimuliakan dan dijaga sedaya upaya atau sebaik-baiknya agar ianya tidak terdedah kepada sebarang pencemaran atau penghinaan yang boleh menjejaskan kesuciannya.
Jadi di sini, timbullah persoalan mengenai kehormatan perisian al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut. Adakah membawanya bersama masuk ke tandas, ataupun membawanya dalam keadaan berhadas akan mencemarkan kesucian al-Qur’an?

Hukum Membawa Tulisan Ayat Al-Qur’an ke Tandas
Membawa apa sahaja benda yang tertulis padanya ayat-ayat al-Qur’an mahupun zikrullah ke tandas hukumnya adalah MAKRUH. Termasuk juga dalam hal ini nama-nama yang dimuliakan seperti nama-nama Allah, para nabi dan malaikat-malaikatNya
sebagaimana yang disebutkan dalam kitab Tuhfah al-Muhtaj.

Imam asy-Syirazi Rahimahullah berkata dalam kitabnya al-Muhadzdzab : “Jika ada seseorang ingin memasuki tandas dan
bersama-samanya ada sesuatu yang terdapat padanya zikir-zikir Allah, maka baginya menjauhkan benda tersebut daripada dirinya (tidak membawanya masuk ke tandas), kerana telah diriwayatkan oleh Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu, bahwasanya Nabi Shallallahu ‘alaihi wasallam apabila hendak memasuki tandas, Baginda meletakkan cincin Baginda itu di luar, ini kerana di atas cincin Baginda itu ada tertulis perkataan  yang Baginda jadikan sebagai mohor atau cap Baginda dalam urusan surat menyurat”.
Imam an-Nawawi Rahimahullah ketika mengulas kata-kata pengarang kitab al-Muhadzzab ini telah berkata : “ Para ulama asy-
Syafi‘eyyah telah bersepakat mengatakan bahawa adalah SUNAT dijauhkan sesuatu yang ada padanya zikir-zikir Allah ketika seseorang itu hendak masuk tandas dan tidaklah wajib ianya dijauhkan daripada dirinya (membukanya)”.
Imam an-Nawawi Rahimahullah seterusnya menambah: “Sama ada benda yang tertulis padanya zikir-zikir Allah itu duit perak (dirham) atau emas (dinar) atau cincin atau lainnya, begitu juga jika ada bersama-samanya tangkal ataupun azimat, SUNAT dijauhkan benda-benda itu daripada dirinya ketika hendak memasuki tandas”.
Ini bertujuan bagi memuliakan ayat-ayat al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut dan sebagai mencontohi perbuatan
Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wasallam yang meletakkan cincin Baginda (di luar) apabila hendak masuk ke tandas kerana terdapat padanya ukiran perkataan .  
Adakah Alat Yang Mengandungi Perisian Al-Qur’an Itu Dihukumkan Sebagai Al-Qur’an?
Para ulama berpendapat bahawa ayat yang ditulis pada sesuatu dengan tujuan untuk mengaji atau mempelajari ayat al-Qur’an
adalah HARAM untuk disentuh atau ditanggung oleh orang yang berhadas. Sementara ayat-ayat yang ditulis bukan kerana tujuan mengaji atau belajar membaca ayat tersebut, umpamanya ayat al-Qur’an yang ditulis sebagai tangkal dan azimat maka HARUS ia disentuh atau ditanggung oleh orang yang berhadas.
Adapun alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang terdapat padanya perisian al-Qur’an, tidaklah dihukumkan sebagai al-Qur’an sungguhpun ianya diniatkan untuk mengaji atau mempelajari ayat-ayat al-Qur’an tersebut. Ini kerana pancaran tulisan al-Qur’an pada skrinnya adalah berbentuk elektronik dan tidak kekal. Begitu juga bacaan al-Qur’an yang berbunyi dari alat tersebut adalah berbentuk rakaman. Ia akan terpadam dan hilang jika alat tersebut dimatikan atau dialihkan ke program yang lain.

Maka tidaklah menjadi kesalahan untuk menanggung atau menyentuhnya dalam keadaan berhadas kerana sebagaimana yang telah disebutkan tadi bahawa alat-alat tersebut tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an.
Hukum Membawa Masuk Alat Perisian Al-Qur’an Ke Tandas
Dalam kitab Nihayah al-Muhtaj karangan Imam ar-Ramli Rahimahullah, beliau berpendapat bahawa benda-benda yang tidak dihukumkan sebagai al-Qur’an atau nama-nama yang tidak dimuliakan adalah harus untuk dibawa masuk ke tandas. Begitu juga jumhur ulama tidak menegah untuk membawa benda-benda selain zikir Allah ke tandas.
Maka dapatlah diambil kesimpulan di sini bahawa adalah HARUS hukumnya membawa masuk alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an atau tafsirnya ke tandas dengan syarat unsur tulisan dan bacaan ayat al-Qur’an itu tidak muncul daripada alat-alat tersebut ketika berada di tandas.
Dalam erti kata lain, alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Quran atau tafsirnya itu hendaklah dimatikan ataupun dialihkan program al-Qur’an itu ke program yang lain sebelum masuk ke tempat-tempat kotor seperti tandas supaya unsur tulisan dan bacaan ayat al-Qur’an tidak muncul daripada alat-alat tersebut ketika berada dalam tandas.
Ini berdasarkan pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj, beliau berkata:
“Sekiranya seseorang masuk ke tandas dengan membawanya (cincin yang tertulis padanya al-Qur’an); walaupun dengan sengaja, maka SUNAT untuk menyembunyikannya seperti menggenggamnya dalam tapak tangan”.
Dengan mematikan alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an
atau tafsirnya itu, ataupun mengalihkannya kepada program lain sebelum memasuki tandas, maka terpeliharalah kesucian ayat al-Qur’an atau tafsirnya yang terdapat dalam alat-alat tersebut kerana ianya tidak akan muncul ketika berada dalam tandas.

Imam Ibnu Hajar al-Haitami Rahimahullah turut menjelaskan bahawa selain tandas, semua tempat-tempat kotor atau tempat-tempat maksiat dihukumkan sebagai tempat-tempat yang menjijikkan. Maka menurut pendapat ini, tempat-tempat tari
menari, kawasan perzinaan, kedai judi, tempat yang mengamalkan riba dan yang seumpamanya, dan termasuk juga dalam hal ini
tanah perkuburan orang-orang kafir adalah sama keadaannya sepertimana hukum membawa ayat-ayat al-Qur’an ke tandas.
Kesimpulan
Tidak kira di mana pun ayat-ayat al-Qur’an tersebut, sama ada pada kertas, tangkal, dinding dan sebagainya ianya masih lagi
dinamakan ayat-ayat al-Qur’an. Maka dalam permasalahan alat-alat seperti telefon bimbit atau PDA (Personal Digital Assistant) yang mengandungi perisian al-Qur’an ini, adalah sangat mustahak pemiliknya bersikap lebih berhati-hati dalam menjaga kesucian ayat-ayat al-Qur’an yang terdapat pada alat-alat tersebut dengan memastikannya ditutup ataupun dialihkan kepada program yang lain sebelum memasuki tempat-tempat yang tidak wajar seperti tandas ataupun mana-mana tempat yang dihukumkan sebagai tempat-tempat yang menjijikkan sepertimana yang telah dijelaskan tadi. BAGAIMANA DENGAN AYAT-AYAT AL-QUR'AN YANG ADA PADA FIKIRAN DAN HATI KITA SENDIRI KETIKA ITU 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan