Untuk mendapat cinta, manusia berusaha apa saja cara tidak kira di mana dan masa asalkan sasaran cinta tercapai. Dalam mencari cinta sejati manusia, bukan hanya remaja, kadang-kadang tersasar dalam erti sebenar cinta.
Kita hanya bergelut mencari cinta manusia yang tidak bertahan lama dan hanya kadangkala bersifat lipstik.
Lupa kepada cinta agung yang menjadi sumber segala cinta.
Cinta Allah adalah cinta hakiki. Kemuncak segala motivasi, samudera segala bekalan dan kesudahan segala keindahan.
Cinta yang membawa kepada segala kebaikan dan berkesudahan menikmati dua syurga iaitu syurga dunia dan akhirat.
Jika Allah adalah cinta segala cinta, dunia akan bertenggek di menaranya. Yang patut diusaha dengan sekuat tenaga, bagaimana hendak dapat cinta Allah.
Sebagai panduan, di sini dijelaskan beberapa faktor dan resipi bagaimana hendak mendapatkan cinta agung Allah.
1. Dengan membaca al-Quran serta merenung dan memahaminya. Berinteraksi dengan al-Quran sama seperti berinteraksi dengan Allah. Sebab kitab ini adalah penghubung di antara makhluk dengan pencipta- Nya.
Dalam hadis Rasulullah bersabda: "Orang yang paling baik di kalangan kamu ialah yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarnya." Kemudian dalam keterangan lain Rasulullah menjelaskan: "Bacalah al-Quran kerana ia akan memberi syafaat (pertolongan) kepada siapa sahaja yang membacanya pada hari akhirat kelak." Di rumah sahabat dulu, biasanya tergantung al-Quran dan pedang. Kenapa dua-dua ini digantung? Sebabnya pedang digunakan untuk pertahanan dan membuka negeri manakala al-Quran untuk membuka hati.
Sekiranya kita boleh baca akhbar dan majalah, malah menghabiskan duit untuk mengumpul gambar penyanyi takkanlah tidak ada masa sebentar untuk baca al-Quran.
Hati yang tidak dihuni dengan al-Quran akan dipenuhi kemunafikan, khayalan gangguan dan kemurungan. Maka isilah hati kita dengan ayat al-Quran.
Kisah seorang sahabat bernama Ubay yang pernah namanya disebut Allah kerana suka membaca al-Quran. Apabila Nabi beritahunya, Ubay terus menangis.
Nabi menguji Ubay dengan soalan, apakah ayat al-Quran yang paling agung. Beliau menjawab: "Ayat kursi." Banyakkanlah membaca ayat ini.
Selain itu, jika hendak dapat cinta Allah seseorang itu perlu solat malam (Kiyamullail). Kita memang biasa bangun malam atau berjaga malam.
Tapi bukan untuk solat, tetapi untuk tengok bola, menonton filem, berborak serta melepak.
Kiyamullail tidak semestinya bangun pada jam tiga atau empat pagi.
Cukup sekadar sembahyang dua rakaat sebelum masuk waktu Subuh sudah memadai.
Ketika menonton siaran bola sepak pula, ketika perlawanan berhenti pada waktu rehat kita ambil wuduk dan bersolat sunat dua rakaat.
Antara cara yang boleh dilakukan ketika Kiyamullail ialah:
1. Berniat untuk bangun solat malam dan berdoa.
2. Jangan melakukan dosa pada siang hari sebab dosa pada waktu siang hari akan ikat rohani kita daripada bangun malam.
3. Tidurlah awal sedikit. Jika tidur jam satu atau dua pagi kemudian hendak bangun Qiyamullail memang tidak jadi.
4. Tidur sekejap waktu tengah hari.
Justeru, hendak dapat cinta Allah ialah dengan merenung ayat Allah. Merenung ayat Allah maknanya merenung kejadian yang Allah ciptakan seperti kejadian langit yang tiada bertiang tetapi boleh tertegak dengan kukuhnya.
Allah sembunyikan malam dan datangkan cerah dan siang. Bagaimana Allah jadikan kita? Besarkan kita? Kemudian usia kita menginjak remaja, akhirnya menjadi tua.
Kemudian bagaimana Allah jadikan tumbuhan nampak sama, tetapi tidak serupa? Buah rambutan nampak serupa, tetapi tidak sama.
Semua ini akan mendekatkan kita kepada Allah. Kita perlu merasa betapa lemah dan kerdilnya diri kita terhadap keagungan Allah.
Maka jika kita cinta kepada Allah maka Allah pasti akan membalas semula cinta kita.
Author: Oleh Mohd Zawawi Yusoh
Tiada ulasan:
Catat Ulasan