CLICK HERE FOR FREE BLOGGER TEMPLATES, LINK BUTTONS AND MORE! »

Followers

Assalamualaikum

untuk pengetahuan anda
segala posting yang di terbitkan di dalam blog ini
adalah sumber/artikel/cerita dari mailbox saya yang telah
dikongsi oleh rakan rakan group

jadi..janganlah anda menuduh saya mengambil,mengedit dan selain nya dari mana mana fakta
kerana niat saya hanya untuk berkongsi sumber/artikel/cerita
yang telah saya baca

harap maklum

ikhlas
sweetmiko

Isnin, 27 Februari 2012

Minum Air Waktu Sahur

Minum Air Waktu Sahur

Dari Perspektif Perubatan

Bersahur itu sangatlah dituntut kepada kita para Saim (orang-orang
yang berpuasa). Diriwayatkan Ahmad dari Abu Sa'id bahawa Rasulullah
SAW bersabda yang maksudnya: "Bersahur itu adalah suatu keberkatan.
Maka janganlah kamu meninggalkannya walaupun dengan hanya seteguk
air, kerana Allah dan para Malaikat berselawat atas orang-orang yang
bersahur"

Sunnah bersahur ini membezakan puasa cara Islam dengan puasa agama
dan bangsa lain di dunia ini. Diriwayatkan oleh Muslim dari Amer
Ibn 'Ash, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Yang
menceraikan antara puasa kita dengan puasa Yahudi dan Nasrani (ahli
kitab) ialah makan sahur."

Begitu kuat penekanan dari Rasulullah SAW kepada kita agar bersahur
sehingga kalau rasa tidak boleh makan kerana kenyang atau lain-lain
sebab cukuplah dengan hanya seteguk air.

Apa Fungsi Air kepada kita?

Penekanan tegas Nabi SAW agar seteguk air pun baik untuk bersahur
jika kita rasa tidak hendak makan menunjukkan bahawa kehadiran air
dalam tubuh kita telah diketahui sangat pentingnya oleh Rasulullah
SAW dan sains perubatan telah lama mencatitkan ini dalam buku-buku
perubatan.

Air dan Fungsinya.

Air sangat penting kepada tubuh. Air boleh berfungsi
sebagai 'pelarut' dan juga sebagai 'pengakutan nutrien' tak organik.
Air diperlukan dalam pembentukan struktur tisu seperti darah
sempurna, otot dan tulang.

Minum Air waktu Sahur.

Penyejatan air dari kulit dan penghembusan keluar air ke udara dari
peparu penting untuk pengawal aturan suhu tubuh. Air memindahkan
suhu dari satu bahagian tubuh ke bahagian lain, di mana perpindahan
air ini menstabilkan suhu tubuh. Tubuh menggunakan air untuk
membolehkan buah pinggang berfungsi secara normal. Kebanyakan bahan
kumuhan tubuh dikumuhkan melalui buah pinggang.

Cecair tubuh menjadi medium (pengantara) untuk enzim dalam keadaan
larut, hormon dan koenzim. Enzim ialah protein yang memulakan dan
mencepatkan tindakbalas. Hormon ialah rembesan kelenjar yang
bertindak sebagai pengutus kepada organ tubuh dengan merangsangkan
beberapa proses kehidupan dan merencatkan yang lain.

Koenzim ialah sebahagian enzim yang diperlukan untuk pengaktifan
molekul protein untuk membentuk satu enzim yang sempurna. Air juga
menolong menyelenggarakan imbangan elektrolit dan juga bertindak
sebagai pelincir dalam pencernaan serta proses-proses lain dalam
tubuh.

Air Liur.

Air liur memudahkan pengunyahan dan penelanan. Kadar air liur
sentiasa mesti cukup. Kadar pengaliran air liur yang rendah (kadar
air liur rehat secara purata ialah 0.208 ml/minit, dapat
meningkatkan kejadian karies (caries) kerana ia mengganggu
pembuangan sisa-sisa makanan kariogenik di dalam mulut.
(karies=kebusukan dan luluhan bahan pada gigi).

Air liur yang dirembeskan dalam keadaan biasa sedikit sahaja
mengandungi glukosa dan tidak ada sukrosa. Apabila makanan yang kaya
dengan gula dimakan kepekatan gula dalam air liur meningkat lebih
daripada 1 mg/ml sehingga menghasilkan pH yang cukup rendah untuk
memulakan pendemineralan gigi.

Dengan itu, pengambilan makanan yang kaya dengan gula dan kadar
pengaliran air liur yang rendah membuatkan gula menjadi tersedia ada
kepada mikroorganisma dalam jangka masa yang panjang sehingga dapat
menghasilkan asid yang cukup untuk membolehkan karies gigi
berkembang. Di sinilah saranan Rasulullah SAW agar kita berbuka
dengan sedikit juadah manis seperti kurma adalah satu saranan yang
baik untuk kesihatan tubuh sekaligus merupakan saranan yang
saintifik.

Minum Air Waktu Sahur.

Memandangkan betapa pentingnya air dalam kehidupan manusia, tidaklah
hairan mengapa tanpa air dalam beberapa hari boleh menyebabkan maut.
Kita mungkin sudah terbaca berita bagaimana beberapa orang mangsa
gempa bumi di Turki suatu waktu dahulu ditemui masih hidup walaupun
sudah tertimbus dalam tanah dan runtuhan bangunan lebih sepuluh
hari, mereka itu masih hidup kerana dapat minum air sedikit dari
pengaliran dan titisan air hujan yang ada.

Malah di Taiwan mangsa gempa bumi yang ditemui masih hidup dalam
keadaan yang sama menceritakan bagaimana mereka terpaksa minum air
kencing sendiri selain dari titisan air dalam bumi. Ini menunjukkan
bahawa manusia boleh bertahan hidup tanpa makan tapi mesti ada air.

Dalam keadaan normal, sebanyak tiga liter air hilang daripada tubuh
setiap hari. Sebahagiannya dikeluarkan sebagai air kencing, ada
melalui kulit, paru-paru dan najis. Oleh itu, kira-kira tiga liter
perlu diambil setiap hari untuk menggantikan apa yang telah
dikumuhkan. Sumber air adalah daripada minuman, hasil pengoksidaan
makanan dan makanan basah. Air daripada pengoksidaan makanan dan
bahan makanan basah dirujukkan sebagai air metabolik.

Minum Air Sihatkan Tubuh-Jauhkan Penyakit.

Kajian sains menunjukkan bahawa walaupun satu daripada sebab sesuatu
penyakit dalam tubuh kita adalah kerana kehadiran kuman, bakteria
dan lain-lain unsur luar. Tapi punca akar umbinya ialah kerana
sistem perparitan dalam tubuh yakni sistem aliran darah dan lain-
lain sistem perkumuhan telah tersumbat dengan banyaknya bahan toksid
dan lain-lain bahan kotor yang wujud kerana makan terlalu banyak
sehingga tidak sempat dihazamkan, kurang minum air, kurang makan
sayur dan buah-buahan. Cara yang paling baik ialah minum air bersih
setiap hari dan minum jus buah-buahan (buat sendiri di rumah untuk
elakkan campuran bahan lain di kedai.)

Meminum air yang banyak boleh menyebabkan sistem yang tersumbat
dalam tubuh dibersihkan dan terkeluarnya bahan yang tidak diperlukan
termasuk bahan toksid. Orang yang puasa hendaklah banyak minum air
ketika sahur dan berbuka. Kurangnya air dalam tubuh boleh
menyebabkan dehaidrasi (dehyration)-kekeringan tubuh.

Maka itulah sebabnya agama Islam memastikan bahawa perintah puasa
bersesuaian dengan sunnah penciptaan manusia, hanya berpuasa dari
Subuh hingga Maghrib. Ini sekaligus mengelakkan dari bahaya
dehaidrasi dan lain-lain penyakit.

Inilah sebabnya kita disuruh berbuka dengan minum air dan makan
bahan makanan manis sedikit. Dan inilah juga yang membezakan puasa
umat Islam dengan puasa bangsa-bangsa lain. Berpuasalah sebagaimana
Nabi kita berpuasa pasti kita selamat dan sihat.

Menyebut Amin Dalam Solat Selepas Membaca Al-Fatihah

Menyebut Amin Dalam Solat Selepas Membaca Al-Fatihah
Mengenai membaca amin selepas membaca surah Al-Fatihah di dalam solat seperti yang dilakukan oleh kebanyakan kita hari ini maka para ulama’ menyebut bahawa ianya ialah sunat yang dituntut dan hal ini merupakan pendapat jumhur ulama’. Walaubagaimanapun menurut Ibn Hazm pula ianya ialah wajib atas makmum dan sunat bagi Imam dan mereka yang bersolat sendirian
(lihat Al-Muhalla m/s 262 Jilid 3 dan Ibn Abidin 320 Jilid 1 dan Mughni Muhtaj m/s 160 Jilid 1).

Perkataan Amin bermakna اللهم استجب “ Ya Allah makbulkanlah” (lihat Ibn Katsir m/s 45 Jilid 1) dan disebut dari riwayat Abi Musa Al-Asya’ari yang berkata bahawa rasulullah salallahualaihiwasalam pernah bersabda :

اذا قرأ (الامام) غير المغضوب عليهم ولا الضالين فقولوا آمين يجببكم الله
“Apabila Imam membaca “qairil Maq’du bi’alaihim waladha’lin” maka sebutlah amin maka Allah akan memakbulkan kamu” (Hadith Sahih, riwayat Muslim no. 404 ). Bahkan disebut oleh para ulama’ termasuk sunat membaca amin walaupun diluar solat sama ada berseorang diri atau bermakmum kepada orang lain atau menjadi imam jika setelah selesai membaca Surah Al-Fatihah.

Sesungguhnya perintah menyebut amin ini disebut sebagai mendapat ganjaran pahala dan manfaat seperti yang disebut dalam hadith riwayat Abu Hurairah ra bahawa baginda nabi salallahualaihiwasalam pernah bersabda :

اذا أمن الامام فامنوا فانه من وافق تأمينه تأمين الملائكة غفرله ما تقدم من ذنبه
“ Jika Imam menyebut amin maka sebutlah amin sesungguhnya barangsiapa yang aminnya bertepatan (bersamaan) dengan amin para malaikat maka diampunkan dosanya apa yang telah berlalu” (Hadith Sahih, riwayat Bukhari no. 780 , Muslim no. 410 dan Tirmidzi no. 250 serta Abu Daud no. 936).
Begitulah juga dalam hadith-hadith yang lain seperti termasuk menyebut bahawa jika selesai nabi salallahualaihiwasalam membaca Al-Fatihah baginda akan menyebut amin dan menjaharkannya (melantangkannya) dan meninggikan suaranya seperti dalam
riwayat oleh Imam Abu Daud dalam Sunannya hadith no. 932 yang berdarjah sahih.

Walaubagaimanapun haruslah dingatkan bahawa pembacaan amin oleh makmum haruslah selepas imam menyebut amin bukan sebelum imam atau mendahului imam seperti dalam hadith di atas !!
Sesungguhnya amin para malaikat ialah selepas aminnya iman bukan sebelum atau bersama iman tetapi selepas imam !!

Menyeberangi Alam Barzakh..

Menyeberangi Alam Barzakh..
 
Saya pegang nisan dikubur arwah abang Hamid yang baru saja kami kebumikan sebentar tadi. Fikiran saya berputar ligat. “Aii.. menung nampak? Apasal?” tanya Bakar, kawan baik saya yang turut sama menjadi penggali kubur di Bakri, Muar, Johor.
“Tak ada apa-apa. Saja tengok kain ni, dah kotor sikit kena tanah,” saya berdalih, cuba menyembunyikan perkara yang berasak-asak datang ke kepala.
Mari gi kat pondok... mandur nak jumpa. Dia nak cakap fasal kerja, gaji, overtime. Pak Dolah, kawan-kawan lain dah pergi dah," tambah Bakar sambil memikul cangkul dan botol airnya.
"Pergilah dulu, nanti aku datang," balas saya lantas duduk termenung.        
Sepeninggalan Bakar, saya duduk di pinggir kubur Abang Hamid. Saya termenung. Ada satu perkara yang sedang menyucuk-nyucuk fikiran saya. Sebenarnya sudah lama ia bermain-main di benak tapi sekarang ini makin mendesak.
Orang ramai sudah balik, Munkar dan Nakir sudah datangkah menyoal Abang Hamid, hati saya bertanya. Kata orang, selepas tujuh langkah kita tinggalkan pusara, maka akan datanglah dua malaikat itu untuk menyoal simati. Kalau bagus amalannya semasa hidup, berbahagialah. Tapi kalau bergelumang dengan kemungkaran, bersiap sedialah...
Saya teringat cerita kononnya ada orang yang menekap telinga ke kubur dan dengar bunyi dentuman tapak kaki di dalam. Konon cerita, lepas itu terdengar pula bunyi hentaman dan si mati menjerit-jerit.
Eee... seramnya. Macam mana agak-nya rupa Munkar dan Nakir. Besarkah badannya, garangkah rupanya atau berjubah dan maniskah wajahnya? Kalau dibelasahnya kita, tentu sakitnya tak terperi. Kalau lipan, jengking datang habislah kita disepit. Nak lari tak boleh, nak mengadu tak boleh, kita seoranglah menanggung sakit pedih. Astaghfirullahal
azim...
Saya masih lagi duduk melangu di pinggir kubur Abang Hamid. Jiwa muda saya makin menggaru-garu. Kian lama saya termenung kian ia mengganas dan mengacau fikiran.
Pergi... pergi sekarang! Johar, masa nilah kalau nak cuba. Kawan-kawan dah tak ada, cepat, ia berbisik di telinga saya.
Jari-jemari saya bergerak-gerak. Lutut dah mula menggeletar manakala kepala rasa berpusing. Saya beristighfar beberapa kali mententeramkan jiwa yang bergelora, namun bisikan itu makin kuat berkumandang di telinga.
Cepat, cepat, cepat! Inilah masanya. Johar, apa engkau tunggu lagi?' Kan engkau nak tau sangat, jangan tercegat lagi. Kau takut? Alah, bukannya kena tangkap, bukannya boleh man...
Jadi bisu? Sakit, lepas tu mereng sampai mati Jangan pedulilah, tu cerita orang aja. Entah ya entah ridak. Engkau orang muda, kuat semangat, apa nak takut. Cepat Johar, cepat, cepaaaaat!
Dimulai lafaz bismillah dan selawat kepada Nabi, saya terus bangun dan terjun ke dalam kubur di sebelah pusara Abang Hamid. Ia baru saja digali sebab di sini, kami biasanya sudah gali lebih kurang 10 kubur sebagai persediaan. Maklumlah, Bakri ni kawasan besar, kalau ada banyak kematian sekali gus, taklah timbul masalah.
Di dalam lahad saya berbaring dan meratib, lailahaillallah, lailahaillallah, lailahaillallah...
Saya pejamkan mata, menggigil tengok dinding lahad di depan mata. Bau tanah dan sempitnya ruang di dalam lahad itu menyebabkan saya betul-betul gemuruh.
Munkar, Nakir, ular, jengking, api tinggi menggulung, nanah, darah dan segala seksaan yang pcrnah didengar daripada guru-guru agama terbayang di depan mata.
Saya juga teringat pada alunan suara seorang wanita membaca al-Quran dari salah sebuah kubur di sini yang saya dengar beberapa bulan lalu. Jeritan, tangisan dan raungan dari kubur-kubur lain yang didengar pada malam-malam selepas itu juga pantas menyerbu fikiran.
Suara-suara aneh dari kubur itulah yang sebenarnya menggaru-garu jiwa saya untuk menyaksikan sendiri keadaan di alam barzakh. Bunyinya memang gila, mana boleh manusia hidup menycberangi ke alam barzakh, tapi saya ingin juga merasainya.
Lailahaillallah
Lailahaillallah
Lailahaillallah
Saya terus meratib dan meratib hinggalah tiba-tiba dunia menjadi kelam dan sedetik kemudian bergema satu bunyi yang amat menakutkan.
GGRUUMMM... PPPRRAAAPPP!!
Tanah di kubur Abang Hamid tiba-tiba bergerak. Setelah itu satu lagi sisi tanah kuburnya berganjak diiringi bunyi yang amat menggerunkan.
"Ya Allaaaaahhh... apa yang berlaku ini?" saya menggeletar kerana bunyi itu datang dari dua arah dan saling rapat merapati. Air mata seperti hendak mengalir.
GGGRRRRUUUMMM...
Tanah di kubur Abang Hamid bergerak lagi saling himpit menghimpit. Saya menggigil mendengar bunyi itu yang dentumannya lebih dahsyat daripada tanah runtuh. Saya cuba menekup telinga kerana tidak tertahan dengan bunyi yang bingit itu, tapi tangan saya tiba-tiba kaku.
Ingin saja saya melompat dari kubur, pun demikian kaki bagai dipaku ke tanah, tak dapat bergerak akibat terlalu terkejut.
ARGGHKKK... ERRRKKKKKKK
Terdengar pula suara seorang lelaki mengerang. Suaranya laksana dia sedang menahan kesakitan yang amat sangat tapi seperti tersekat di kerongkong. Nafas saya sudah tidak tentu arah, takut yang amat sangat.
AARRKKK... UUURRRKKGGH!!!
Saya menggigil apabila dia mengerang-ngerang lagi. Perasaan simpati tak dapat dibendung. Ingin rasanya saya menarik lelaki itu keluar daripada terus dihimpit, tapi di sebelah saya cuma lapisan tanah yang tidak mampu ditembusi.
Saya masih lagi terbaring dengan nafas turun naik apabila tiba-tiba... PPPR-RRAAPPPPP!!!... bunyi papan patah berderai.
PRRAAKK... TTAAPP... PRRAAPP!
Kepingan demi kepingan papan tersebut patah hingga hancur berkecai lalu disudahi dengan suara lelaki tersebut mengeruh. Serentak itu, kedengaran pula tulang-temulang patah!
Air mata saya meleleh. Di ketika ini hati saya berkata, mungkin inilah yang Nabi maksudkan bahawa tanah dan dinding kubur akan menghimpit tubuh orang-orang yang mengkufuri Allah hingga berselisih tulang selangkanya. Aduh, tidak terbayang peri sakitnya lelaki yang sedang mengerang itu. Jantung saya bagai hendak tercabut dan darah terasa kering apabila mendengar dia mengerang-ngerang dan tulang-temulangnya patah berderap-derap.
Di saat saya terbungkam dengan apa yang berlaku, tiba-tiba satu deruan angin yang maha dahsyat datang menerpa. Desingannya menyakitkan telinga.
Seiring dengan ribut taufan itu juga, hadir sesuatu berwarna hitam seperti asap, makin lama makin membesar lalu membentuk lembaga hitam yang teramat besar. Di tangannya tergenggam sebatang besi yang sedang membara, merah menyala.
Tiba-tiba lembaga itu menghayun besi tersebut. Pantas saya menepis, namun sebaik besi itu menyentuh lengan, saya menjerit kesakitan. Aduh, panasnya menyebabkan kulit tangan saya ini bagai tersiat dan dagingnya masak.
"ARGGGHHHH" Jangan pukul aku lagiiiii!!!" saya meraung apabila lembaga itu memukul kaki saya.
Saya cuba mengelak, tapi pukulan itu tetap singgah ke sasaran. Bagai hendak tercabut anak tekak saya menjerit kerana kehangatan besi itu membakar daging paha saya.
"Arrgghhh... sakit, sakiiittt!!" saya meraung-raung, tapi lembaga hitam besar hingga sayup mata memandang itu terus menghayunkan besi panasnya ke kepala, kaki, tangan, badan dan perut saya.
Dalam pada itu, tanah di kubur sebelah terus-terusan bergerak himpit menghimpit. Bumi tempat saya berpijak bergegar hebat laksana dilanda gempa.
Suara lelaki mengerang dan tulang-temulangnya patah berderap bagai dahan sekah, tetap kedengaran. Dalam hati saya meraung, matilah aku kejap lagi, patahlah tulang aku, renyuklah badan aku dibelasah dengan besi panas.
Saya menjerit, menepis, mengelak hinggalah tiba-tiba saya terasa sesuatu yang amat sejuk menyimbah ke tubuh saya. Serentak itu lembaga hitam hilang entah ke mana dan bunyi bumi bergegar serta lelaki mengerang lenyap serta-merta. Suasana terasa hening.
"Johar... Johar!!" sayup-sayup nama saya dipanggil.
Dengan susah payah, saya membuka mata. Tapi saya tidak larat, badan terlalu letih. Wajah seseorang berbalam-balam di mata.
"Johar... bangun, bangun!" nama saya dipanggil lagi, badan digoncang-goncang.
Saya buka mata sedikit. Ooo... rupa-rupanya Bakar. Bersama-sama Pak Dollah, mereka mengangkat saya keluar dari kubur.
Selepas diberi air, badan dikipas, barulah saya segar semula. Bakar beritahu, selepas menunggu lama di pondok, dia dan Pak Dollah serta mandur mencari saya untuk membayar wang kerja lebih masa. Lama mencari, akhirnya dia jumpa saya di dalam kubur sedang bersilat seorang diri.
"Engkau menepis sana, mengelak sini. Habis tanah kubur tu engkau tumbuk. Aku ambil air, aku simbahlah," kata Bakar sambil menunjukkan baldi yang digunakannya lalu disambut gelak tawa kawan-kawan.
Saya hanya tersenyum tawar. Tak terdaya saya hendak ceritakan apa yang telah berlaku sebentar tadi, bimbang mereka tidak percaya.
Selepas kejadian itu saya terlantar selama beberapa bulan akibat badan penuh dengan lebam-lebam. Mungkin lebam akibat menumbuk dan menendang tanah, mungkin juga akibat pukulan besi panas itu. Saya juga dibawa berjumpa bomoh untuk memulihkan semangat.
Keluarga dan kawan-kawan menggeleng kepala dengar cerita saya. Mereka berebut-rebut menyuruh saya menceritakan pengalaman menakutkan itu. Ada yang insaf, ada juga yang mengatakan semua itu karut, mainan syaitan, mimpi dan igauan semata-mata.
Lantaklah apa kata mereka, tapi saya puas hati. Akhirnya saya telah saksikan sendiri seksaan di dalam kubur. Sama ada apa yang dilihat itu adalah keadaan yang sebenarnya berlaku di alam barzakh atau hanya mimpi semata-mata akibat terlelap semasa meratib, itu saya tidak kisah.
Yang penting keinginan untuk menjengah alam itu telah tertunai.
Peristiwa pada pertengahan 1970-an itu telah memberi keinsafan yang benar-benar mendalam di hati saya.

MENGENAL DUNIA INI


 MENGENAL DUNIA INI

Dunia ini adalah ibarat pasar yang dilalui oleh pengembara dalam perjalanannya menuju ke tempat yang lagi satu.  Di sinilah pengembara itu mengumpulkan bekalan untuk perjalanannya.  Pendeknya di sinilah manusia itu dengan menggunakan deria jasmaninya,  memperolehi sedikit sebanyak pengetahuan tentang kerja-kerja Allah,  dan melalui pengetahuan itu untuk Mengenal Allah.  Pandangan terhadap Allah inilah yang menentukan kebahagiaan dan keselamatan  di hari kemudian;  kerana untuk mendapatkan Ilmu Pengetahuan inilah,  maka manusia turun ke dunia dan tanah ini.  Selagi derianya ada bersama dengannya,  orang itu dikatakan berada "dalam dunia ini".  Apabila deria ini meninggalkan jasad dan hanya sifat-sifatnya yang perlu sahaja yang tinggal.  maka orang itu dikatakan telah kembali "ke akhirat".
Semasa manusia itu berada dalam dunia ini,  dua perkara perlu baginya.
Pertama;  melindungi dan mengasuh(memelihara) Ruhnya dan
Keduanya;  memelihara dan menyelenggara badannya.
Makanan Ruh itu seperti yang tersebut sebelum ini,  ialah Mengenal dan Cinta kepada Allah.  Jika cinta itu ditumpukan sepenuhnya kepada "ghair Allah" (selain Allah),  maka binasalah Ruh itu.  Badan itu hanya ibarat binatang tunggangan bagi Ruh.  Badan itu akan hancur tetapi Ruh tetap hidup.  Ruh itu sepatutnya memelihara badan.  Ibarat orang yang hendak mengerjakan Haji ke Mekah,  ia perlu memelihara untanya,  tetapi jika ia menghabiskan masa dengan memberi makan dan menghias untanya sahaja,  maka kafilah akan meninggalkan ia di belakang dan binasalah ia di padang pasir.
Keperluan badan manusia itu terbahagi kepada tiga sahaja iaitu makanan;  pakaian;  dan tempat tinggal.  Tetapi kemahuan badan yang ada pada seseorang untuk mendapatkan tiga perkara itu cenderung memberontak melawan akal dan ini tumbuh kemudian dari tiga perkara itu.  Oleh itu,  perlulah kemahuan itu disekat dan dibataskan dengan undang-undang syariat yang dibawa oleh Rasul-Rasul.
Berkenaan dunia ini pula,  di mana kita tinggal seketika,  kita dapati ada terbahagi kepada tiga bahagi -  iaitu binatang,  tumbuh-tumbuhan dan galian(logam).  Hasil daripada ketiga-tiga perkara perkara ini sentiasa diperlui oleh manusia dan ini menerbitkan tiga pekerjaan yang utama pada manusia iaitu;
  • Kerja Menenun,
  • Kerja Membina dan
  • Kerja-kerja Logam. 
Ini pula terbahagi kepada beberapa cabang lagi seperti Tukang Jahit,  Tukang Batu,  Tukang Besi dan lain-lain lagi.  Tidak ada yang bebas sendiri;  perlu saling berkaitan.  Maka timbullah perhubungan dan perkaitan perdagangan dan perniagaan.  Di sini timbul pula keadaan-keadaan yang menerbitkan Hasad,  Dengki,  Tamak,  Haloba dan berbagai-bagai penyakit Jiwa(Ruh).  Dengan itu timbul pulalah perbalahan dan persengketaan dan keperluaan untuk berpolitik,  berkerajaan dan pengetahuan tentang undang-undang.
Oleh yang demikian,  pekerjaan dan perdagangan di dunia ini makin bertambah rumit dan kusut dan menyusahkan(kompleks).  Ini ialah kerana manusia telah lupa bahawa keperluaan mereka yang utama adalah hanya tiga perkara sahaja iaitu pakaian,  makanan dan tempat tinggal.  Diri ini wujud hanya bertujuan untuk menjadikan badan itu layak bagi tunggangan Ruh dalam perjalanan menuju ke akhirat.  Mereka telah sama tersilap seperti orang yang pergi ke Mekah itu iaitu mereka telah lupa tujuan perjalanan dan dirinya sendiri,  lalu menghabiskan masa memberi makan dan menghias untanya.  Manusia pasti terpesona dan terpikat oleh dunia kecuali ia berhati-hati benar supaya tidak tergoda.  Nabi ada bersabda mengatakan bahawa dunia ini ibarat Tukang Sihir yang lebih pintar dari Harut dan Marut.
Dunia ini menipu kita dengan cara berikut.
Pertama;  ia berpura-pura kekal bersama kita padahal sebenarnya ia sentiasa berlalu saat demi saat sambil melambaikan tangan mengatakan Selamat Tinggal kepada kita,  seperti bayang-bayang yang nampaknya tetap tetapi sebenarnya bergerak.
Kedua;  Dunia ini berpusing seperti seperti Ahli Sihir yang menarik tetapi jahat.  Ia berpura-pura Cinta kepada kita,  suka kepada kita,  tetapi kemudian ia pergi kepada musuh dan meninggalkan kita manusia kesedihan dan putus asa.  Nabi Isa Alaihissalam ternampak dunia ini seperti bentuk nenek kebayan tua yang buruk.  Beliau bertanya kepada dunia itu berapakah suami yang ia ada.  Dunia itu menjawab suaminya tidak terkira banyaknya.  Beliau bertanya lagi adakah suaminya itu telah mati atau telah diceraikan.  Katanya semua mereka itu telah dibunuhnya.  Nabi Isa Alaihissalam berkata;
"Aku hairan kenapa manusia bodoh yang telah melihat bagaimana anda melakukan kekejaman itu namun masih juga mereka suka dan cinta kepada anda".
Nenek Kebayan yang jahat ini memakai pakaian yang indah-indah dan menutup mukanya.  Kemudian ia pergi menggoda manusia.  Banyaklah manusia yang tergoda dan tertipu  dan dibinasakannya.  Nabi SAW. pernah bersabda bahawa di hari Qiyamat kelak,  dunia ini akan berupa dengan bentuk Ahli Sihir,  matanya hijau dan giginya tertonjol keluar.  Orang yang melihatnya akan berkata;
"Kasihanilah kami!  Siapakah ini?"
Malaikat akan menjawab;
"Inilah dunia yang kamu perbuat dan pertengkarkan,  yang kamu bunuh-membunuh dan sembelih-menyembelih antara satu sama lain".
Kemudian dia akan dilemparkan ke Neraka dan di situlah ia akan menjerit;  "Oh Tuhan!!! Di manakah mereka yang mencintai aku dahulu".  Kemudian Allah perintahkan mereka itu dilemparkan juga ke dalam Neraka itu.
Barangsiapa bertafakur dengan serius bahawa dahulunya dunia ini tidak wujud dan di masa akan datang ia akan hilang sirna,  maka nampaklah ia bahawa dunia ini ibarat perjalanan di mana peringkat-peringkatnya berupa  tahun,  bulan dan batunya dengan harinya,  dan langkahnya dengan saat.  Tidak dapat hendak diceritakan bagaimana ruginya mereka yang menganggap dunia ini tempat kediamannya yang kekal dan membuat rancangan untuk sepuluh tahun yang akan datang pada mungkin ia akan berada dalam kubur dalam tempoh sepuluh hari lagi.  Siapa tahu!!!.
Siapa yang meninggalkan dirinya dalam lautan keseronokan dunia fana ini,  di masa matinya akan jadi seperti orang yang menyumbatkan mulut dan perutnya dengan makanan dan kemudian ia memuntahkan semula.  Kelazatannya hilang sirna.  Tinggallah malu dan aib.  Makin banyak harta-benda,  wang ringgit,  rumah dan taman yang indah dipunyainya,  makin pedih dan payahlah ia hendak meninggalkan semua itu.  Kepedihan dan kepayahan ini akan dibawa hingga selepas mati kerana jiwa yang sudah biasa dengan Tamak Haloba itu akan menjadi Tamak Haloba juga selepas mati dan di Akhirat kelak akan merasai kesusahan dan kepedihan kerana kemahuan dan keinginan yang tidak merasa puas.
Satu daripada ciri atau sifat perkara keduniaan ini ialah pada mulanya nampak seperti perkara kecil sahaja,  tetapi tiap-tiap perkara yang nampak "kecil" ini bercabang dan bercawang hingga tidak terhingga lagi banyaknya,  hingga ia menelan dan membolot seluruh masa dan tenaga manusia itu.  Nabi Isa Alaihissalam pernah berkata;
"Orang yang cinta kepada dunia itu ibarat orang yang meminum air laut,  makin diminum makin dahaga hingga akhirnya ia binasa,  namun dahaga tidak juga hilang".
Nabi SAW. pernah bersabda;
"Tidaklah kamu bercampur dengan keduniaan itu melainkan kamu dikotori sebagaimana orang yang masuk ke air,  pasti akan basah".
Dunia ini ibarat meja yang di atasnya ada hidangan untuk tetamu yang datang silih berganti.  Di atasnya ada pinggang mangkuk emas dan perka,  penuh dengan makanan yang sedap-sedap,  dan bau-bauan yang harum mewangi.  Tetapi yang bijak akan makan seperlunya,  menghidu wangi-wangian itu,  mengucapkan terima kasih kepada tuan rumah,  dan kemudian pergi.  Tetapi tetamu yang bodoh,  sebaliknya cuba mendak membawa pulang pinggang mangkuk emas dan perak itu,  tetapi benda-benda itu dirampas balik darinya.  Ia ditolak  pergi.  Maka malu dan hina serta putus asa sahaja yang diperolehinya.
Sekarang kita tutup penerangan kita tentang tipu muslihat dunia ini dengan ibarat yang berikut.  Katalah sebuah kapal tiba di sebuah pulau yang penuh dengan kayu-kayan.  Nakhoda kapal itu memberitahu penumpang-penumpang kapal itu ia hendak singgah bebarapa jam sahaja di pulau itu,  dan mereka boleh naik ke pantai untuk sementara waktu tetapi jangan terlampau lama.  Maka turunlah penumpang-penumpang itu ke pantai dan masing-masing pergi ke sana dan kemari sesuka hatinya.
Orang yang bijak di antara mereka itu akan kembali ke kapal dalam masa yang singkat sahaja dan apabila melihat kapal itu lapang mereka pun mencari tempat yang selesa untuk duduk.
Kumpulan penumpang yang kedua pula berjalan ke sana ke mari lama sedikit sambil menikmati  keindahan pokok-pokok dan bunga-bunga dan mendengar burung-burung menyanyi.  Setelah kembali ke kapal,  mereka dapati tempat-tempat yang baik di kapal itu telah diduduki dan terpaksalah mereka berpuas hati dengan tempat yang kurang selesa itu..
Kumpulan yang ketiga berjalan dan bersiar makin jauh di pulau itu dan mereka membawa batu-batu yang beraneka warna untuk dibawa ke kapal.  Kerana mereka lambat kembali ke kapal itu,  terpaksalah mereka duduk di tempat-tempat yang kurang baik di dalam perut  kapal itu.  Mereka dapati batu yang berkilauan yang mereka bawa itu telah hilang kilauan dan warna-warninya.
Kemudian yang terakhir pula telah merayau-rayau terlalu jauh ke tengah pulau itu hingga tidak sedar masa untuk belayar telah hampir dan tidak pula mendengar panggilan nakhoda itu kerana mereka terlampau jauh.  Maka terpaksalah kapal itu belayar semula tanpa mereka bersama.  Maka merayaulah mereka dengan putus asa dan dukacita dan akhirnya binasalah mereka kerana dahaga dan kepalaran ataupun dimakan oleh binatang-binatang buas.
Kumpulan pertama itu ibarat orang-orang yang beriman yang menjauhkan diri dari pengaruh keduniaan;  dan kumpulan yang terakhir ialah ibarat orang-orang kafir yang hanya memandang dunia ini sahaja dan lupa akhirat.  Dua golongan yang di antara itu adalah mereka yang memelihara Imannya mereka tetapi mengikut pautan diri mereka kurang lebih dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah di dunia ini.
Meskipun kita telah bercakap banyak mengecam dunia ini,  tetapi hendaklah diingat bahawa ada juga perkara-perkara di dunia ini yang bukan terdiri dari benda keduniaan,  seperti Ilmu Pengetahuan dan Amal Sholeh.  Manusia akan membawa bersamanya apa-apa Ilmu yang ia punyai masuk ke Alam Akhirat.  Meskipun amal sholehnya telah berlalu,  namun kesannya tetap tinggal dalam wataknya atau keperibadiannya khususnya dalam hal peribadatan,  yang menghasilkan Cinta kepada Allah dan mengenangNya sentiasa.  Inilah sebahagian dari "perkara-perkara yang baik" yang tersebut di dalam Al-Qur'an sebagai "Tidak akan hancur musnah".
Lain-lain perkara baik dalam dunia  ini,  seperti berkahwin,  makanan,  pakaian dan sebagainya digunakan oleh orang-orang yang bijaksana menurut kadarnya kerena ini semua menolongnya untuk mencapai ke Alam akhirat.  Apa sahaja yang menarik seluruh perhatian hati yang menyebabkan ianya tertambat ke dunia ini dan lupa ke Akihrat,  adalah sebenarnya jahat semata-mata.  Ini diibaratkan oleh Nabi SAW demikian;
"Dunia ini celaka dan semua perkara dalam dunia ini celaka,  kecuali Zikir Allah(mengenang Allah) dan apa-apa sahaja yang membantu(untuk mengingati Allah)